Monday, February 7, 2011

Mungkin 30 sukan saja

MOM tak cadang hantar atlit bertanding semua acara Sukan SEA XXVI

MALAYSIA dijangka ‘memulau’ sebahagian besar daripada 44 jenis sukan dan 542 acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA XXVI di Indonesia, 11 hingga 23 November depan.

Tindakan itu dibuat kerana negara ini tidak memiliki atlit untuk bertanding dalam acara berkenaan, bahkan tiada persatuan sukan ditubuhkan atau beroperasi di negara ini kerana sebahagian besarnya bukan acara tumpuan dalam pembangunan sukan negara.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata kontinjen negara dijangka hanya mengambil bahagian dalam kira-kira 30 jenis sukan daripada keseluruhan 44 yang akan dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

“Selepas meneliti senarai 44 sukan, kita mungkin hanya menyertai antara 30 hingga 32 jenis sukan saja. Selebihnya, kita tidak sertai kerana tidak mempunyai atlit,” katanya, semalam.

Antara sukan yang mungkin tidak disertai kontinjen negara termasuk shorinji kempo yang menawarkan 16 emas, soft tenis (7), fin swimming (16), gusti (17), roller sports (12) dan vovinam (14) manakala beberapa acara lain juga diketepikan kerana atlit negara diramal tidak mampu bersaing kerana jauh ketinggalan berbanding atlit rantau ini.

Begitupun, Kok Chi berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Lembaga MOM selepas menerima laporan delegasi yang akan menghadiri mesyuarat Majlis dan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan Sea (SGF) di Denpasar, Bali, 25 Februari ini.
“Kita akan berbincang dan memuktamadkan mengenainya selepas mesyuarat Majlis dan Jawatankuasa Eksekutif SGF,” katanya.

Kelmarin, Kok Chi menyifatkan jumlah 542 pingat emas yang dipertandingkan pada temasya serantau Asia Tenggara itu tidak rasional dan berlawanan dengan acara lazim dipertandingkan di pentas antarabangsa termasuk Sukan Asia dan Olimpik


B.Harian

No comments:

Post a Comment