Wednesday, February 23, 2011

Lapan gimnas galas tugas Sukan Sea

HANYA lapan gimnas lelaki bakal menggalas tanggungjawab ke Sukan Sea, Palembang, November ini, namun nama Mohd Irwan Miskob malangnya sah tidak tersenarai.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Profesor Datuk Dr Zakaria Ahmad (gambar) bagaimanapun berkata, senarai atlet yang bakal ke Palembang belum boleh didedahkan secara rasmi.

“Cuma, yang pasti Irwan (Mohd Irwan Miskob) tidak tersenarai. Kita sudah sahkan lima atlet yang akan ke sana tetapi selebihnya masih di peringkat pemantauan. Tetapi kami tidak boleh dedahkan secara rasmi buat masa ini.
“Saya juga tidak pasti mengenai statusnya untuk tersenarai di program Majlis Sukan Negara (MSN), jika benar dia ada menulis surat kepada badan induk itu tetapi namanya tidak pula dibincangkan bersama jawatankuasa bersama antara MGF dan MSN,” katanya.

Arena Metro melaporkan status Irwan, 28, selaku gimnas paling senior ketika ini dilihat kabur berikutan permohonannya untuk terus berada di bawah program MSN masih tidak mendapat sebarang kata putus. Keadaan itu menjadi batu penghalang buatnya untuk beraksi di mana-mana kejohanan utama khususnya ke Sukan Sea.

Sejak awal tahun lalu hingga sekarang, gimnas yang kini kembali sejak mengundurkan diri sembilan tahun lalu cuba untuk disenaraikan dalam program MSN termasuk menulis surat kepada pihak berkenaan malah sudah melepasi saingan kelayakan dengan menduduki tempat ketiga tapi masih tidak mendapat sebarang maklum balas. Mengulas lanjut, Zakaria berkata, Irwan tidak mengemukakan permohonannya tersenarai dalam program MSN kepada MGF.

“Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, MSN tidak menyelitkan namanya. Bagaimanapun, saya akan memeriksa semula isu ini,” katanya.

Menggalas tanggungjawab sebagai pendidik, Irwan pernah menjulang nama negara dengan menyumbang dua pingat emas pada Sukan Sea 2011 di Kuala Lumpur.

Irwan yang turut bertugas sebagai seorang pendidik kali terakhir menyumbang kejayaan kepada negara pada Sukan Sea, Kuala Lumpur 2001 dengan meraih dua pingat emas. Penampilan sulungnya selepas menyertai semula dunia gimnastik adalah di Sukan Komanwel, New Delhi, tahun lalu.



-H.Metro

No comments:

Post a Comment