Tuesday, December 15, 2009

Zamri, Azian pengubat kecewa


ZAMRI (kiri) bersaing dengan pelumba Vietnam, Nguyen Hung Mai dalam acara lebuh raya lelaki semalam.


VIENTIANE, Laos - Ketika tumpuan lebih terarah kepada Anuar Manan, Mohd. Zamri Salleh memberi sedikit keceriaan buat kem lumba basikal negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara lebuh raya pada Sukan SEA XXV semalam.

Zamri berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan 4 jam 2 minit 56 saat untuk berada di belakang pemenang pingat emas dan perak, Minh Yhuy Buy dan Nguyen Hung Mai, kedua-duanya dari Vietnam.

Zamri mengakui, dia agak kecewa kerana harapan yang disandarkan kepadanya untuk memenangi pingat emas pada temasya kali ini tidak menjadi kenyataan.

"Saya telah berusaha dari awal perlumbaan bagi memastikan strategi berpasukan menjadi. Bagaimanapun, saingan pada 20 kilometer terakhir amat sukar apabila para pelumba telah mula berpecah dan semakin lama, saya sukar untuk mengejar kelompok yang berada di depan.

"Walaupun hanya mampu meraih gangsa, saya harap ia mampu dijadikan penawar selepas gagal menjelmakan pingat emas," kata Zamri.

Sementara itu, Anuar berkata, dia sudah mula dikepung dalam kelompok besar sejak awal perlumbaan sehingga sukar untuk melakukan breakaway (pemisahan).

"Sejak dari mula lagi, saya sudah menjangkakan pelumba-pelumba lain akan memberi tumpuan dengan mengawal saya termasuk (pelumba Indonesia) Tonton Susanto. Jadi memang agak sukar untuk saya meloloskan diri dalam kelompok besar," kata Anuar yang menamatkan perlumbaan di tempat tercorot di kalangan pelumba negara.

Dua lagi pelumba lelaki negara, Ahmad Fallanie Ali dan Mohd. Razif Salleh turut gagal menyerlah apabila menamatkan perlumbaan dalam kelompok pertengahan.

Terdahulu, Nor Azian Alias menyumbang pingat perak dalam acara lebuh raya wanita yang berlangsung pada sebelah pagi.

Nor Azian mencatat 3:36.33s, masa yang sama turut dilakukan oleh pemenang pingat emas dari Thailand, Jutatip Maneephan dan pemenang gangsa, Phan Thuy Trang dari Vietnam.

Disebabkan itu, pemenang terpaksa ditentukan menerusi pecutan terakhir di garisan penamat.

Tiga lagi pelumba wanita negara, Nurul Ahmar Badeu- zaman, Masziyaton Mohd. Radzi dan Mariana Mohamad masing-masing berada di tempat ketujuh, ke-11 dan ke-13.

No comments:

Post a Comment