Monday, December 14, 2009

Yi Ting terus gah



YI Ting terus membuktikan kejaguhan apabila meraih emas ketiga di Vientiane selepas mengungguli acara 100m kuak dada dan 200m rampaian individu sebelum ini.

Raih emas ketiga acara 200m kuak dada

ANGKA sembilan pingat emas selaku pencapaian terbaik skuad negara dalam sejarah temasya ini makin dihampiri apabila Siow Yi Ting meraih kilauan emas ketujuh, semalam.

Dua pingat perak juga ditambah dalam koleksi skuad renang negara, semalam, menerusi Kevin Yeap dan kuartet 4x100 meter rampaian wanita.

Yi Ting, sebelumnya memenangi emas 100m kuak dada dan 200m rampaian individu, terus membuktikan kejaguhannya apabila meraih emas ketiga di Vientiane menerusi kejayaan dalam 200m kuak dada.

Catatan kepantasannya pada dua minit 30.35 saat adalah lakaran rekod baru temasya, tetapi tidak mengatasi rekod kebangsaan yang turut dipegangnya, 2:27.80s.

Pencapaian itu meletakkannya setanding dengan Daniel Bego yang juga sudah memungut tiga emas setakat ini. Satu lagi emas negara disumbangkan Khoo Cai Lin.

Namun rekod sembilan emas - yang dihasilkan ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea 2001 - tampak dalam jangkauan ketika Daniel masih memiliki dua acara dan Yi Ting juga dijangka turun dalam acara 400m rampaian individu.

Turut menceriakan skuad negara ialah Kevin yang berjaya menduduki tempat kedua perlumbaan ‘renang maraton’ - 1,500m gaya bebas - dengan catatan masa 15 minit 51.80 saat.

Kuartet 4x100 rampaian wanita kemudian memperbaharui rekod kebangsaan dengan kepantasan 4:13.18s ketika menduduki tempat kedua di belakang Singapura.

No comments:

Post a Comment