Wednesday, December 9, 2009

Upacara naik bendera simbolik pertarungan




Tentera Laut Laos menaikkan Jalur Gemilang pada upacara menaikkan bendera di perkampungan Sukan SEA XXV di Vientiane, semalam. - BERNAMA

VIENTIANE - Upacara menaikkan bendera 10 negara bertanding berlangsung di perkampungan sukan, semalam sebagai tanda simbolik bahawa semua atlet bersedia untuk bertarung pada Sukan SEA XXV.

Bagaimanapun, upacara untuk edisi ke-24 Sukan SEA agak berbeza berbanding temasya sebelumnya, malah boleh dianggap agak hambar tanpa penglibatan atlet yang mengambil bahagian.

Sebelum ini, debaran Sukan SEA amat dirasai sehari sebelum ia dibuka secara rasmi apabila semua atlet yang sudah memasuki perkampungan sukan akan berbaris mewakili negara masing-masing untuk upacara menaikkan bendera, namun di Laos, proses menaikkan bendera cuma melibatkan pegawai.

Malah, tiada perbarisan diadakan, sebaliknya delegasi setiap negara hanya duduk di khemah orang kenamaan yang disediakan dan hanya berdiri apabila lagu kebangsaan negara bertanding berkumandang.

"Ia cuma satu upacara simbolik, menaikkan bendera masing-masing dan itu saja.

Upacara agak berbeza dari temasya yang sebelum ini tetapi tidak apalah itu cara masing-masing.

"Seperkara lagi yang agak janggal di sini, bendera tuan rumah dinaikkan dulu, diikuti bendera negara-negara lain, berbeza dengan kebiasaannya bendera dinaikkan mengikut abjad dan bendera tuan rumah adalah yang terakhir sekali naik,"kata Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Kata Kok Chi, beliau tidak hairan sekiranya kontinjen tuan rumah juga akan menjadi kontinjen pertama keluar pada perbarisan upacara pembukaan hari ini, sedangkan kebiasaannya mereka adalah kontinjen terakhir yang akan membuat kemunculan.

"Walaupun kita sudah memberitahu mereka apakah amalan Sukan SEA tetapi Laos mempunyai protokol mereka sendiri. Ia mungkin agak pelik tetapi setiap negara ada cara mereka sendiri," katanya lagi.

Ketua Kontinjen Negara, Datuk Dr. Ramlan Aziz mengetuai Malaysia dalam acara menaikkan bendera semalam, yang dimulakan dengan menaikkan bendera Brunei, diikuti Kemboja, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam. - Utusan

No comments:

Post a Comment