Monday, December 7, 2009

Tidak mahu bazir wang rakyat!


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya difahamkan pihak penganjur telah memberi hak penyiaran kepada sebuah syarikat di Thailand dan mereka mengenakan kos tinggi untuk penyiaran.

Katanya, Malaysia tidak menanggung apa-apa kerugian akibat ketiadaan siaran langsung kerana yang ruginya ialah Laos kerana mereka tidak boleh memberikan liputan meluas berhubung kejohanan yang berlangsung kepada negara lain.

''Walau apa pun pandangan yang diberikan berhubung hak siaran tetapi pada saya terserahlah kepada budi bicara RTM dalam membuat keputusan.

''Lagi pun Sukan SEA bukanlah temasya besar seperti Olimpik atau sukan bertaraf antarabangsa lain, ia hanyalah pesta persahabatan membabitkan hubungan diplomatik antara negara-negara ASEAN,

''Jika terdapat siaran langsung pun... jika ia membabitkan wang rakyat yang banyak, lebih baik ditiadakan," katanya semasa bersarapan bersama media di Kuala Terengganu, pagi semalam.

Beliau yang berlepas ke Laos esok turut meninjau serta memberi sokongan kepada kontinjen negara dalam menghadapi temasya tersebut.

Dalam Sukan SEA XXV, Laos kali ini, Malaysia menghantar seramai 370 orang atlet dan 120 pegawai dengan menyertai 21 daripada 25 acara yang dipertandingkan.

Mengulas mengenai kesulitan yang bakal dihadapi oleh kontinjen negara di Laos, Ahmad Shabery berkata, mereka yang terbabit seharusnya bersedia dari segi fizikal dan mental memandangkan negara terbabit jauh ketinggalan dari segi kemudahan sukan dan infrastruktur.

Katanya, peserta negara tidak boleh mengharapkan semua kemudahan bertaraf lima bintang sebagaimana negara lain.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata, pihaknya bercadang menggubal undang-undang bagi membolehkan semua stadium di negeri-negeri diserahkan kepada badan khas di peringkat pusat bagi membolehkan pelbagai urusan berkaitan penjagaan, penyelenggaraan dan pengurusan di uruskan secara bersistematik.

Katanya, ini penting kerana terdapat beberapa stadium di negeri-negeri ini sekarang kelihatan tidak terurus manakala terdapat setengah kes langsung tidak terurus dengan baik sehingga membantutkan pembangunan sukan.

1 comment:

  1. erkkk betul ke macam ni... rugi ler kita kaalu x boleh tengok aksi wira-wira kita kat sana..

    ReplyDelete