Friday, December 11, 2009

Terjun intai dua emas pertama hari ini

VIENTIANE - Di atas kertas, skuad terjun negara tampak tiada masalah untuk memenuhi sasaran lima pingat emas yang diletakkan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) pada Sukan SEA XXV.

Malah, dua pingat emas yang ditawarkan di hari pertama terjun, hari ini - 10 meter platform lelaki dan 3m papan anjal wanita sepatutnya menjadi milik Malaysia tanpa banyak masalah.

Bryan Nickson Lomas, yang masih segar dengan kejayaan memenangi gangsa pada Kejohanan Asia bulan lalu mampu menjadi penyumbang pingat emas pertama terjun kerana dia berada satu tahap di depan penerjun-penerjun lain.

Malah, pingat emas 3m papan anjal wanita juga berpotensi milik Leong Mun Yee, kecuali ada malapetaka atau kesilapan besar dilakukan jaguh negara itu, maka baru ia akan terlepas ke tangan orang lain.

Bryan, 19, yang melayakkan diri ke saingan akhir Kejohanan Dunia amat berpengalaman untuk melakukan tahap kesukaran yang lebih tinggi, sekali gus mewujudkan jurang antara dia dan pencabar lain.

"Saya tidak mahu terlebih yakin kerana bimbang ia hanya akan membawa padah, tetapi saya percaya kalau saya berjaya mengelak daripada melakukan kesilapan besar tiada sebab untuk saya tidak memenangi pingat emas esok.

"Sebenarnya saya lebih berdebar menantikan acara 3m papan anjal seirama. Saya akan berpasangan dengan Yeoh Ken Nee buat kali pertama di Sukan SEA, kombinasi kami belum banyak diuji tetapi kami menunjukkan permulaan baik pada Kejohanan Asia bulan lalu," ujar Bryan.

Ken Nee, yang merupakan juara 3m papan anjal seirama pada Sukan SEA Korat, terpaksa mendapatkan gandingan baru selepas pasangan utamanya, Rossharisham Roslan tidak dapat beraksi kerana menjalani pembedahan lutut.

Dia menunjukkan keserasian yang baik apabila berganding dengan Bryan buat kali pertama pada Kejohanan Asia di Foshan bulan lalu selepas berjaya memenangi pingat perak.

Sementara itu, Mun Yee yakin acara 3m papan anjal wanita tidak akan bertukar tangan kepada penerjun lain kerana ketika ini, prestasi penerjun Malaysia jelas berada setahap lebih baik dari pencabar lain.

Malah, penerjun kelahiran Ipoh itu juga yakin untuk mempertahankan kejuaraan dalam acara 3m papan anjal seirama, biarpun mendapat pasangan baru, iaitu penerjun remaja Wendy Ng.

Gandingan Mun Yee-Wendy mempamer aksi memberangsangkan pada Kejohanan Asia dengan meraih gangsa.

Pada Temasya Korat dua tahun lalu, Mun Yee berpasangan dengan Elizabeth Jimie untuk meraih emas.

Selain Bryan dan Mun Yee, Malaysia juga menampilkan nama-nama besar seperti Yeoh Ken Nee dan Pandelela Rinong untuk memenuhi sasaran lima emas yang diletak ASUM.

Pada Temasya Korat 2007, pasukan terjun pulang bersama tujuh emas, namun sasaran terpaksa direndahkan kali ini kerana acara 1m papan anjal tidak dipertandingkan. - Utusan

No comments:

Post a Comment