Friday, December 11, 2009

Sukan Sea: Zaira julang sejarah

GANGSA dituai Zaira Zakaria yang juga mencatat sejarah selaku pingat pertama negara dalam acara ini, jelas menjadi pemangkin untuk kejayaan memberangsangkan di Pusat Perguruan Pornsawan, semalam.

Pingat kejutan daripada Zaira, menyuntik semangat buat Raihan Yusof memungut perak dalam acara 53kg manakala harapan peserta lelaki ditunaikan Amirul Hamizan Ibrahim yang meraih gangsa acara 56kg sambil memecahkan rekod kebangsaan.

Bagi Raihan, perak itu umpama bonus buatnya apa lagi dia baru sembuh daripada kecederaan pinggang serta lutut, dan tidak mensasarkan untuk memungut sebarang pingat pada temasya kali ini.

Dan angkatan seberat 57kg dalam acara snatch serta 63kg dalam acara clean & jerk juga jauh daripada catatan terbaiknya walaupun dia masih gembira dengan kalungan pingat pertamanya di Sukan Sea.

"Saya hanya melakukan yang terbaik pada saingan tadi dan tidak terlalu memberi tekanan kerana saya baru pulih dari kecederaan," kata atlit berusia 21 tahun dari Kelantan itu.

Amirul pula yang tampak tidak akan mampu menggugat dalam saingan 56kg, mendapat tuah apabila dibantu kegopohan juara bertahan yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Tuan Anh Hong yang gagal mengangkat sebarang bebanan pada berat permulaan 152kg.

Atlit berasal dari Rompin itu melakukan angkatan seberat 118kg dalam acara snatch dan 147kg dalam clean & jerk, lebih sekilo dari rekod kebangsaan miliknya sendiri yang dilakukan di Mini Olimpik pada Ogos lalu.

"Saya melakukan kesilapan dalam acara snatch, sepatutnya saya melakukan angkatan sempurna pada kali pertama dan tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan pingat ini," katanya. - BHARIAN

No comments:

Post a Comment