HATRIK pencapaian diburu Bryan Nickson Lomas ketika Leong Mun Yee mahu mencecah angka dua digit dalam koleksi pingat emasnya pada temasya serantau ini, sebaik medan aksi bermula pada Ahad ini.
Kedua-duanya diramal tidak menghadapi masalah untuk merealitikan hasrat masing-masing ketika kualiti dan reputasi penerjun-penerjun negara diperakui berada setahap lebih tinggi berbanding pencabar serantau lainnya.
"Saya sudah bersiap sebaik mungkin untuk mempertahankan emas pada acara 10m platform yang dimenangi sejak 2005 di Manila lalu. Walaupun sebelum ini saya turut menumpukan perhatian kepada acara 3m papan anjal seirama, pingat emas itu tetap mahu dipertahankan," kata Bryan, 19.
Mun Yee, 25, pula sudah memiliki lapan emas sejak kali pertama memperagakan aksi ketika pentas Sukan Sea dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2001.
Di Kuala Lumpur, dia menang tiga emas sebelum sekadar meraih satu kilauan sama di Vietnam, dua tahun berikutnya. Pada 2005 di Manila dan 2007 di Korat, Mun Yee meraih dua emas menerusi acara yang sentiasa berbeza.
"Kali ini, sasaran saya ialah untuk cuba mencapai angka 10 emas peribadi. Persiapan selama tiga minggu di Kunming berjalan lancar. Saya belajar beberapa gaya terjunan baru. Saya sasarkan untuk menang sekurang-kurangnya dalam dua daripada tiga acara," katanya.
Acara akan disertainya kali ini ialah 3 meter papan anjal individu, 3m papan anjal seirama serta 10m platform seirama.BHARIAN
No comments:
Post a Comment