Tuesday, December 22, 2009

'Smash' kencang di Laos


SKUAD badminton negara yang meraih pingat emas dalam acara
berpasukan di Laos.


VIENTIANE, Laos - Skuad badminton negara sudah boleh tidur lena sekembalinya mereka ke tanah air.

Ini kerana, mereka berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan untuk memenangi dua pingat emas pada temasya Sukan SEA XXV.

Kejayaan membawa pulang dua emas itu sekali gus meleburkan hajat Indonesia yang mahu membolot kesemua tujuh pingat emas yang ditawarkan pada temasya kali ini. Indonesia terpaksa berpuas hati dengan kutipan empat emas manakala satu lagi emas berjaya dibolot Thailand.

Tanpa kelibat pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, skuad badminton negara dilihat tempang untuk memburu emas dalam acara perseorangan dan berpasukan lelaki. Selepas berjaya melangkah ke final acara berpasukan lelaki, skuad negara terpaksa menelan hakikat bahawa Indonesia lebih berhak meraih emas acara tersebut apabila menang 3-1.

Beberapa jam selepas kem Indonesia berpesta meraikan kejayaan menjuarai acara berpasukan lelaki tiba-tiba skuad wanita negara 'memusnahkan' seketika pesta yang diraikan mereka.

Semuanya gara-gara kemenangan yang dilakar barisan wanita negara apabila menjuarai acara berpasukan wanita selepas menewaskan Indonesia 3-1 pada perlawnaan akhir.

Kejayaan itu mengakhiri kemarau selama 34 tahun.

Gandingan 'bidan terjun', Ng Hui Lin-Woon Khe Wei menjadi watak utama di sebalik kejayaan penuh bersejarah itu.

Sekalipun hanya diberitahu akan digandingkan bersama sebaik tiba di Laos, Hui Lin-Khe Wei tidak pernah menyangka bahawa mereka akan dijulang sebagai wirawati negara.

Hui Lin-Khe Wei mengesahkan kemenangan skuad wanita negara apabila menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Greysia Polii-Liliyana Natsir 19-21, 21-12, 21-18 dalam pertarungan selama satu jam.

Sebaik tamat acara berpasukan, giliran acara individu pula dilangsungkan dan seperti dijangka, pemain perseorangan lelaki negara, Muhd. Hafiz Hashim dan pemain remaja, Liew Daren tersingkir seawal pusingan pertama. Langkah perseorangan wanita, Wong Mew Choo dan Lydia Cheah pula hanya sampai di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berjaya menyelamatkan maruah skuad badminton negara apabila menyumbang emas kedua kelmarin. Kali ini, selain dua emas, skuad badminton negara berjaya meraih dua pingat perak dan lima gangsa.

No comments:

Post a Comment