Tuesday, December 22, 2009

Prestasi akuatik luar biasa


DANIEL muncul atlet Malaysia paling cemerlang pada Sukan SEA XXV di Laos dengan meraih lima pingat emas termasuk empat catatan rekod baru temasya.


VIENTIANE, Laos - Skuad akuatik negara wajar diberi pujian hasil kejayaan cemerlang pada temasya Sukan SEA XXV yang telah melabuhkan tirainya semalam.

Sebanyak 15 pingat emas berjaya dibawa pulang oleh skuad akuatik yang dibarisi perenang dan penerjun negara pada temasya kali ini.

Tatkala skuad renang negara menghadirkan sembilan pingat emas, lima perak dan enam gangsa, terjun pula menghadiahkan enam emas, satu perak dan dua gangsa.

Dua nama yang sudah pasti menjadi sebutan ialah perenang sensasi lelaki negara, Daniel Bego dan perenang wanita, Siow Yi Ting (gambar kecil).

Daniel telah menyambar lima pingat emas di Pusat Renang, Kompleks Sukan Nasional dengan memenangi acara 100, 200, 400 meter gaya bebas serta 100 dan 200m kuak kupu-kupu.

Daripada lima acara tersebut, Daniel berjaya memecahkan empat rekod Sukan SEA kecuali dalam acara 200m kuak kupu-kupu.

Daniel berjaya memperbaharui rekod Sukan SEA dalam acara 100m gaya bebas selepas mencatat masa 50.16 saat. Sebelum ini, rekod dalam acara tersebut dipegang oleh perenang Indonesia, Richard Sam Bera dari Indonesia yang mencatatkan masa 50.80s pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Dalam saingan 200m gaya bebas, Daniel mencatatkan masa 1 minit 49.22 saat bagi memadam rekod kebangsaan miliknya iaitu 1:50.92s yang dilakukan pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.




Catatan tersebut juga turut memperbaharui rekod Sukan SEA miliknya sendiri iaitu 1:52.32s yang dibuat pada temasya 2007 di Korat, Thailand.

Bagi acara 400 meter gaya bebas, Daniel berjaya meleburkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Jeffrey Ong. Daniel mencatatkan masa 3 minit 53.99 saat, sekali gus memadam catatan yang dilakukan Jeffrey iaitu 3:56.81s. Catatan yang dilakukan Daniel itu juga berjaya memecahkan rekod Sukan SEA berusia 14 tahun milik perenang Thailand, Torlap Sethasothon iaitu 3:57.34s.

Dalam acara 100m kupu-kupu, Daniel mencatatkan 53.82s, sekali gus memadam rekod miliknya sendiri iaitu 54.33s.

Selain Daniel, Yi Ting juga mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul tiga emas, masing-masing dalam acara 200 meter rampaian individu dan 100 serta 200m kuak dada.

Dalam ketiga-tiga acara tersebut, Yi Ting berjaya memperbaharui rekod Sukan SEA.

Dalam acara 200m rampaian individu, Yi Ting berjaya mencatatkan masa 2:14.57s, sekali gus memadam rekod Sukan SEA milik perenang Singapura, Jocelin Yeo iaitu 2:17.17s.

Bagi acara 100m kuak dada, catatan masa 1:09.82s yang dilakukanya berjaya memadam rekod milik perenang Singapura, Nicolette Teo yang mencatat masa 1:10.15s pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lepas.

Dalam acara 200m kuak dada, Yi Ting mencatat masa 2:30.35s bagi memadam rekod lamanya iaitu 2:31.90s yang dilakukannya pada temasya 2001 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, penerjun negara turut cemerlang di Pusat Renang, Kompleks Sukan Nasional. Daripada lapan emas yang ditawarkan, mereka berjaya meraih enam pingat emas.

Selepas Bryan Nickson Lomas menyumbang emas pertama skuad terjun negara dalam acara 10 meter platform lelaki, dua lagi pingat emas hadir menerusi Pandelela Rinong dan Yeoh Ken Nee, masing-masing bagi acara 10m platform wanita dan 3m papan anjal lelaki.

Gandingan Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong menghadiahkan emas keempat dalam acara 10 meter platform seirama wanita sebelum Ken Nee dan Bryan menyumbang emas kelima bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki.

Kombinasi Mun Yee dan Ng Yan Yee menghadiahkan emas terakhir buat skuad terjun negara di Laos dengan menjuarai acara 3 meter papan anjal seirama wanita.

No comments:

Post a Comment