Thursday, December 3, 2009

Skuad Tenis negara buru dua pingat gangsa

MISI yang ditetapkan mudah dan kini cuma tinggal usaha dan sedikit tuah ketika skuad tenis negara mempersiapkan diri memburu sekurang-kurangnya dua pingat gangsa dalam kancah Sukan Sea Laos yang bermula minggu depan.

Bagi dua pemain wanita negara yang buat pertama kali menginjak kaki di pentas Sukan Sea, Choo Lyn Yee, 15, dan T Neesha, 17, sasaran yang ditanamkan pada diri mereka adalah untuk mara sejauh mungkin.

Neesha, nama yang mula meningkat naik dalam dunia tenis wanita negara - berkata sasarannya adalah memastikan mampu mencipta kemenangan demi kemenangan dengan mempertaruhkan perguruannya di Akademi Tenis Newcombe di Amerika Syarikat.

“Mungkin gangsa yang disasarkan mampu dicapai tetapi ia memerlukan usaha keras untuk direalisasikan. Saya mengharapkan pengalaman di Amerika mampu membuahkan hasil yang diharapkan, lebih-lebih lagi ini kali pertama saya ke Sukan Sea,” katanya.

“Saya lebih selesa bermain dalam acara beregu terutama andai dapat dipadankan kembali dengan Jawariah Nordin tetapi terserah kepada jurulatih untuk menentukan kedudukan saya ketika saingan sama ada saya bermain untuk perseorangan atau beregu,” katanya.

Sementara itu, Lyn Yee berkata, perasaan gementar untuk menghadapi saingan di Laos tidak akan menjejaskan prestasinya dan berharap mampu melakar kejutan terutama menyedari kehadiran pasukan Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Saya berharap ketika di Laos kelak, saya mampu beraksi dengan baik,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang di Sarawak itu yang ditemui ketika latihan di Kompleks Tenis Negara di Jalan Duta.BHARIAN

No comments:

Post a Comment