Thursday, December 17, 2009

Sasaran empat emas NSAM lebur tak kesampaian

SKUAD negara kian berdepan igauan pencapaian terburuk dalam temasya serantau ini apabila harapan emas yang disandarkan pada pasukan rapid fire pistol lelaki tidak menjadi kenyataan apabila hanya menyumbang dua perak, masing-masing dalam acara individu dan berpasukan, semalam.

Sejak 2001, Malaysia tidak pernah gagal meraih emas dalam sukan ini, tetapi dengan hanya tinggi satu acara iaitu 25m pistol wanita hari ini, harapan menyelamatkan maruah mereka kelihatan cukup tipis, apa lagi sasaran empat emas oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sudahpun lebur di lapang sasar Kompleks Sukan Nasional.

Hasli Izwan Amir Hasan, Hafiz Adzha dan Khalel Abdullah, gagal menyimpan emas yang dimenangi di Korat, dua tahun lalu apabila sekadar di tempat kedua dengan 1,652 mata di belakang Vietnam yang mengutip 1,666 mata. Gangsa milik trio Thailand dengan 1,637 mata.

Hasli juga terlepas emas dalam acara individu, apabila sekalipun bangkit dengan tembakan yang lebih tepat, dia hanya sekadar meraih perak dengan 749.70 mata, untuk berada di belakang penembak Filipina, Nathaniel Padilla yang mencatat 753.20 mata.

"Ini Sukan Sea terburuk saya," kata Hasli. "Kecuali 2003 apabila saya tidak bertanding, bermula 2001 saya sentiasa dapat meraih emas tetapi di sini cukup mengecewakan.

"Dalam saingan berpasukan, aksi saya cukup buruk tetapi saya dapat bangkit dengan persembahan lebih baik dalam acara individu tetapi malangnya tidak dapat mempertahankan emas yang saya menangi dua tahun lalu," katanya.

Kini giliran Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Mohd Badrin untuk turun pada hari terakhir hari ini dalam usaha menyelamatkan pasukan negara daripada bencana. BH

No comments:

Post a Comment