Thursday, December 17, 2009

Raja bawa misi berbeza



EMPAT tonggak (dari kiri) Nasriq, Aidil Zafuan, Muslim Ahmad dan Sabre sedia gempur kubu Vietnam, petang ini.

Vietnam ghairah lakar sejarah, Malaysia mahu akhiri kemarau

BERBEZA dengan Vietnam, kesebelasan skuad negara tidak punya 'misi melakar sejarah' dalam pemikiran apabila turun ke gelanggang, hari ini untuk cuba menamatkan kemarau penantian pingat emas yang sudah berlanjutan selama 20 tahun.

Apa yang mahu dicapai ialah kepuasan diri, betapa peluang terjelma untuk memperagakan aksi di pentas tertinggi, tidak akan sama sekali dipersiakan.

“Jika Vietnam mahu buru sejarah, biarkanlah mereka. Ia tidak penting untuk kami ketika ini. Apa yang saya mahu ialah pemain kekal dengan perancangan permainan yang ditetapkan. Jika pada akhirnya nanti, sejarah itu terjadi, maka terjadilah ia,” kata jurulatih, K Rajagobal.

Malah, dihujani pelbagai soalan oleh sekumpulan wartawan Vietnam yang mahu tahu kesebelasan pilihannya, Rajagobal lebih mahu menumpukan perhatian kepada kekuatan pasukannya - tanpa mahu terganggu tidur angkara terlalu memikirkan apa bakal disajikan lawan.

“Ini pentas terbaik, jadi pemain perlu tahu betapa peluang sebegini tidak akan hadir selalu. Mereka perlu bijak memanfaatkannya. Jangan terlalu fikirkan apa yang menanti. Sebaliknya, buat tugas yang diberi dan nikmati detik final itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, petang semalam.

Sesungguhnya, Malaysia tidak harus dibelenggu bimbang kerana peningkatan aksi dipamerkan sejak kekalahan 1-3 kepada lawan sama di peringkat kumpulan lalu, harus kini mencetus bimbang Vietnam.

Malah, kepahitan itu tampak jadi pengajaran paling berguna dengan pemain kelihatan amat bersemangat untuk paling utama - menebus dendam kekalahan, dengan kilauan emas hanya hadir di penghujung pemikiran.

"Kami tahu apa kemampuan mereka, sama seperti Vietnam tahu kekuatan kita. Saya yakin final kali ini akan jadi permainan menarik,” kata Rajagobal.

Meneliti sesi latihan pula, Rajagobal tampak akan terus menaruh harapan kepada barisan hampir sama - dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Muslim Ahmad, Nasriq Baharom serta Mohd Sabre Mat Abu bakal diberi kepercayaan menerajui benteng.

Posisi Safiq Rahim dan K Gurusamy di tengah tidak terjejas, ketika Baddrol Bakhtiar serta S Kunanlan juga berkemungkinan besar diberi tanggungjawab mengepalai bahagian tengah.

Ketika latihan itu juga, Ahmad Fakri Saarani - penjaring gol kemenangan ketika menentang Thailand - kembali di barisan depan, bersama-sama Norshahrul Idlan Talaha. Zaquan Adha Abdul Radzak mungkin akan sekadar berwatak pembantu.BH

No comments:

Post a Comment