ANBARASI (kiri) dan Noor Aziera akan berentap di separuh akhir acara recurve individu wanita. |
Anbarasi, Aziera akan berentap di separuh akhir acara recurve
PEMANAH, S Anbarasi dan Noor Aziera Taip sudah memastikan Malaysia akan memenangi sekurang-kurangnya pingat perak apabila kedua-duanya akan berentap di separuh akhir acara recurve individu wanita manakala Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra turut mara ke saingan empat terakhir individu lelaki.
Anbarasi, yang memenangi perak dalam acara sama di Korat dua tahun lalu, mara selepas mengatasi peserta Thailand, Pattheera Boonmark 104-100 manakala Aziera pula memintas lawannya dari Singapura, Vanessa Loh, 109-101.
"Tidak ada percaturan pasukan siapa yang akan bermain di final," kata Anbarasi. "Masing-masing akan bersaing untuk ke final. Apa yang penting sudah ada wakil Malaysia yang akan layak untuk penentuan emas dan perak.
"Hari ini saya beraksi sederhana tapi mencukupi untuk ke separuh akhir dan berharap selepas ini akan dapat mempertingkatkan lagi bidikan saya."
Jurulatih, Lee Jae-hyung, berkata dia tidak akan menentukan sama ada Anbarasi ataupun Aziera untuk ke final, sebaliknya membiarkan kedua-duanya berentap untuk menentu siapa yang layak.
"Kami tidak akan memilih,” kata Jae-hyung. "Terpulang kepada mereka untuk bersaing sesama sendiri dan siapa yang terbaik akan ke final."
Dalam acara recurve lelaki, Chu Sian, juara dua tahun lalu di Korat, akan berentap dengan pemanah Indonesia, Hendro Suprianto di separuh akhir selepas mengatasi Mohd Ali Sofian, juga dari Indonesia, 111-104
Arif, yang pertama kali beraksi dalam Sukan Sea, berjaya mengatasi rasa gemuruhnya untuk menjinakkan lawannya dari Thailand, Witthaya Thamwong, 106-104 dan akan berdepan juara 2005 di Manila, Zaw Win Htike.
Dalam acara compound individu wanita, dua pemanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Norhayati Al-Madhiha Hashim terkandas di suku akhir bersama-sama dengan Muhammad Zaki Mahazan dan Leong Foong Ting bagi kategori individu lelaki. BHARIAN
No comments:
Post a Comment