Wednesday, December 16, 2009

'Persediaan rapi berbaloi'


DIANA Bong menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara ini selepas mengungguli saingan nanquan-nandao di Pusat Konvensyen Lao Itecc, semalam.


Dia mengutip 9.68 mata, hanya 0.01 mata mengatasi lawan dari Vietnam, Vu Thuy Linh di tempat kedua manakala wakil Myanmar, Aint Mi Mi gangsa dengan 9.61.

"Saya memang mengharapkan dapat meraih emas, saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan, saya sangat gembira, terima kasih kepada semua yang menyokong saya," kata gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Diana yang juga pemenang gangsa Kejohanan Dunia di Toronto, Kanada pada Oktober lalu dalam acara nanquan berkata, dia sudah bersedia sejak dua tahun lalu untuk mempertahankan emas yang dimenanginya di Korat.

Menurut Diana, misinya ke Laos hanya untuk mendapatkan emas dan dia tidak memikirkan siapa lawan yang bakal ditemui asalkan mampu beraksi sebaik mungkin.

"Tidak guna memikirkan bagaimana untuk mempertahankan emas itu kerana apa yang lebih penting adalah mengawal diri dan fokus terhadap rutin yang dilakukan,"katanya.

Dia menjelaskan selepas ini saingan Sukan Sea nanti dia akan memulakan latihan intensif bagi persiapan ke Sukan Asia dan dia bersama pasukan berkemungkinan akan ke China, April depan untuk berlatih dan menyertai kejohanan utama di sana.

No comments:

Post a Comment