Tuesday, December 15, 2009

Mun Yee-Yan Yee lengkapi sasaran



MUN Yee (kiri) dan Yan Yee memperaga pingat emas terjun 3m papan anjal, semalam

JANJI enam kilauan pingat emas daripada skuad negara dikotakan gandingan Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee yang melengkapkannya menerusi penguasaan acara 3m papan anjal seirama wanita pada hari terakhir saingan di kolam renang Kompleks Sukan Nasional Laos, semalam.

Kejayaan itu adalah emas kedua Mun Yee pada temasya kali ini selepas turut meraih emas bersama Pandelela Rinong menerusi acara 10m platform seirama, sehari sebelumnya. Buat Yan Yee, ia emas sulung pada penampilan pertamanya di temasya serantau itu.

"Fokus utama saya ialah hanya mengemaskan lagi teknik terjunan yang baru dipelajari. Lagipun, saya baru bersama-sama Mun Yee tidak sampai sebulan. Ini kejohanan kedua selepas kami memenangi pingat gangsa ketika Kejohanan Asia bulan lalu," kata Yan Yee, 16.

Buat Mun Yee, kemenangan itu tetap manis biarpun terbukti pentas Sukan Sea bukan menjanjikan suasana saingan sengit seperti dihadapi di peringkat antarabangsa lainnya.

"Kami perlukan penyertaan untuk memantapkan lagi gandingan. Emas ini tetap berharga kerana ia membantu menambah lagi jumlah emas kontinjen negara," katanya.

Mun Yee-Yan Yee menghimpun keseluruhan 294.72 mata, jauh meninggalkan penerjun Indonesia, Maria Natalie Dind-Sari Ambarwati yang memungut 258.45 mata. Pingat gangsa milik penerjun Vietnam, Let Thuy Hoang-Thanh Tra Hoang (249.90 mata).

Malaysia juara keseluruhan acara terjun, selepas memenangi enam daripada lapan emas yang dipertandingkan. Dua lagi emas milik Indonesia dan Vietnam. BHARIAN

No comments:

Post a Comment