Wednesday, December 16, 2009

Mew Choo semakin dekati emas


MEW CHOO akan berdepan pemain Thailand, Salakjit Ponsana pada separuh akhir acara perseorangan wanita hari ini.


VIENTIANE, Laos - Ratu badminton negara, Wong Mew Choo mencerah peluangnya untuk menambah koleksi emas peribadinya pada temasya Sukan SEA XXV.

Ahad lalu, Mew Choo membantu skuad negara meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita selepas menewaskan Indonesia 3-1 pada perlawanan akhir di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional.

Semalam, Mew Choo berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara individu selepas menewaskan pemain utama Indonesia, Maria Kristin Yulianti 21-13, 21-12 dalam pertarungan yang mengambil masa 35 minit.

Sebelum ini, Maria yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2008 disebut-sebut sebagai penghalang utama Mew Choo untuk merangkul emas dalam acara perseorangan wanita.

Kini, selepas Maria berjaya ditumbangkan pada peringkat suku akhir, Mew Choo berpeluang untuk mengulangi pencapaiannya pada Sukan SEA 2003 di Vietnam dengan memenangi pingat emas acara perseorangan wanita.

Menanti Mew Choo pada separuh akhir hari ini ialah pemain Thailand, Salakjit Ponsana yang menewaskan pemain Laos, Manivone Meungchaleun 21-6, 21-6.

"Saya tidak boleh katakan saya sudah mempunyai peluang meraih pingat emas. Saya tidak akan memandang rendah keupayaan dia (Salakjit) kerana takut nanti saya sendiri yang akan bermain sambil lewa," kata Mew Choo yang juga juara Final Masters 2009 baru-baru ini.

Dalam satu lagi pertemuan separuh akhir bakal menemukan seorang lagi pemain negara, Lydia Cheah dengan Ratchanok Intanon dari Thailand.

Pada aksi suku akhir semalam, Lydia menewaskan pemain Singapura, Zhang Biewen 21-19, 21-18 manakala Ratchanok menang 21-19, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Adriyanti Firdasari.

Dalam acara beregu wanita pula, nasib berbeza dialami pasangan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Chong Sook Chin-Woon Khe Wei.

Tatkala Pei Tty-Eei Hui meneruskan langkah mereka ke separuh akhir, Sook Chin-Khe Wei pula tersingkir pada peringkat suku akhir semalam.

Pei Tty-Eei Hui mara ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan Singapura, Liu Fan Frances-Vanessa Neo dengan kemenangan straight set 21-11, 23-21.

Pei Tty-Eei Hui akan menentang gandingan Indonesia, Meiliana Jauhari-Shendy Puspa Irawat pada aksi separuh akhir hari ini.

Bagaimanapun, Sook Chin-Khe Wei gagal mengikut jejak beregu utama negara itu apabila tewas 19-21, 21-17, 17-21 kepada gandingan Singapura, Shinta M. Sari-Yao Lei.

Acara beregu lelaki pula menyaksikan kedua-dua gandingan negara melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mara selepas menewaskan pasangan Singapura, Hendra Wijaya-Jeffrey Wong 21-19, 21-6 manakala Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari menang 21-12, 19-21, 21-13 ke atas gandingan Singapura, Jonathan Tang-Terry Yeo. KOSMO

No comments:

Post a Comment