Monday, December 7, 2009

Laluan sukar menanti Shakirin


ATLET ping pong negara bergambar selepas menjalani latihan di Universiti Nasional Laos semalam.


VIENTIANE, Laos - Pemain kebangsaan Muhd. Shakirin Ibrahim dijangka menghadapi laluan mencabar untuk mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya bagi acara ping pong pada Sukan SEA Korat dua tahun lepas berikutan kehadiran pemain kelahiran China dalam pasukan Singapura dan Myanmar pada Sukan SEA kali ini.

Muhd. Shakirin, 25, yang akan beraksi bagi kali ketiga pada Sukan SEA berkata, Singapura telah menyenaraikan semua pemain kelahiran China manakala Myanmar juga dijangka bertindak serupa.

"Singapura telah membuktikan kehebatan mereka pada Sukan SEA Korat dua tahun lepas dengan menyapu bersih semua tujuh pingat emas yang ditawarkan melalui acara itu," katanya.

Muhd. Shakirin, satu-satunya pemain bukan Cina pertama yang menganggotai skuad ping pong kebangsaan, meraih dua pingat gangsa pada temasya dwi-tahunan itu iaitu pada Sukan SEA 2005 di Manila dan Sukan SEA 2007 di Korat Thailand.

Di Manila, dia memenangi pingat itu bagi acara beregu campuran bersama Beh Lee Wei manakala di Korat pula dia berpasangan dengan Chia Kian Beng bagi acara beregu lelaki.

Di Vientiane, Muhd. Shakirin akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan dan beregu.

Sementara itu, seorang lagi pemain bukan Cina dalam skuad Malaysia, Muhamad Asraf Haiqal Muhamad Rizal, 15, yang pertama kali beraksi pada Sukan SEA berkata, kejayaannya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Junior SEA di Thailand Jun lepas akan menjadi pembakar semangat baginya untuk mencapai kejayaan cemerlang pada kejohanan kali ini.

"Jurulatih berkata pendedahan pada Sukan SEA Vientiane adalah baik bagi saya," kata Asraf yang berpasangan dengan Chee Kien Ee pada kejohanan di Thailand itu.

Pada Sukan SEA kali ini, Muhamad Asraf akan berpasangan dengan Kho Moo Sheng bagi acara beregu lelaki dan acara berpasukan.

Pengurus pasukan, Soong Poh Wah berkata pasukan itu mensasarkan memenangi sekurang-kurangnya dua pingat gangsa melalui Beh Lee Wei (perseorangan wanita) dan Muhd. Shakirin-Chia Kian Beng (beregu lelaki).

"Kami berharap akan menang pingat emas bagi acara beregu wanita melalui Beh Lee Wei-Ng Sock Khim, tapi harapan ini nampaknya berkecai memandangkan Sock Khim masih menerima rawatan bagi kecederaan lutut kanannya," katanya.

Skuad ping pong Malaysia akan memulakan aksinya esok di Dewan Konvensyen Universiti Nasional Laos.

No comments:

Post a Comment