Monday, December 7, 2009

Amirul mengimpikan naik podium


AMIRUL mensasarkan pingat emas pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Laos.


JAGUH angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim hanya mahu emas pada penampilannya di Sukan SEA Laos minggu depan, lapor NOOR HASLIZA NUSI.

Bagi merealisasikan impiannya itu, dia terus gigih menjalani agar prestasinya kekal berada di puncak.

Ini merupakan penampilan pertamanya pada temasya dwi-tahunan itu dan cita-citanya hanya satu - iaitu untuk menghadiahkan emas kepada negara.

"Saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan. Malah, saya sudah membuat persiapan rapi sebelum berangkat ke sana (Laos)," katanya kepada Kosmo!

Jelas anak kelahiran Pahang itu, saingan dalam kelas 56kg pada temasya kali ini sangat mencabar kerana ia turut membariskan atlet Vietnam dan Indonesia yang pernah memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik Beijing tahun lepas.

"Saya memang mengimpikan emas di Laos tetapi saya tidak berani meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana saingan yang bakal saya hadapi adalah sengit.

"Atlet angkat berat dari Vietnam dan Indonesia merupakan pemenang pingat perak dan gangsa dalam kategori 56kg pada Sukan Olimpik Beijing tahun lalu dan mereka merupakan halangan utama saya.

"Saya hanya dapat katakan, saya akan mencuba yang terbaik di Laos nanti," katanya.

Atlet angkat berat kelas bantamweight itu mempamer potensi cemerlang apabila meraih emas pada Sukan Komanwel 2002 di Manchester dalam kelas 56kg. Tetapi malangnya dia gagal beraksi pada temasya yang sama pada tahun 2006 di Melbourne ekoran penggantungan selama dua tahun akibat positif dadah.

Selepas kembali daripada penggantungan pada 2007, Amirul menunjukkan prestasi membanggakan apabila dia layak menyertai Sukan Olimpik Beijing 2008 walaupun gagal meraih sebarang kejayaan.

No comments:

Post a Comment