VIENTIANE - Bagi jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek, ketiadaan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei pada Sukan SEA XXV Laos tidak sepatutnya hanya dilihat dari sudut negatif, sebaliknya ada hikmah.
Tanpa Chong Wei, pasukan negara tidak mempunyai pilihan dalam membariskan pemain perseorangan, kecuali terpaksa menurunkan semua pemain yang ada apabila acara berpasukan bermula, Khamis ini.
Keadaan tersebut sekali gus membuka peluang kepada pemain pelapis negara, Liew Darren untuk membuat penampilan sulung pada Temasya sukan dwi tahunan itu.
Andai dilihat dari sudut positif, pendedahan yang diperoleh Darren di Vientiane mampu digunakan untuk membentuk pasukan yang lebih baik apabila Malaysia menganjurkan Piala Thomas, tahun depan.
"Orang selalu tengok dari sudut negatifnya, tiada Chong Wei maka kita hilang satu emas. Mereka tidak nampak pula yang positif, bila Chong Wei tiada, sudah pasti Liew Darren terpaksa beraksi dalam acara berpasukan, ia adalah pendedahan yang baik buat pemain muda itu.
"Tahun depan Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala Thomas, jadi sekarang adalah masa terbaik untuk melihat kemampuan Darren dan mengujinya sebelum diserap dalam skuad utama," kata Misbun.
Malah, Misbun percaya Malaysia masih mampu memenuhi sasaran dua pingat emas sekalipun tanpa Chong Wei dengan sandaran terbaik adalah dalam acara beregu wanita, perseorangan wanita serta beregu lelaki.
Ujarnya, Wong Mew Choo kini berada di tahap keyakinan yang tinggi untuk merampas kembali kejuaraan Sukan SEA yang pernah dimenangi pada Temasya 2005. - Utusan
No comments:
Post a Comment