Friday, December 11, 2009

Hanya dua emas hari kedua


Atlet Malaysia, Che Chew Chan (kanan) mengasak atlet Vietnam, Ha Thi Nguyen ketika perlawanan akhir taekwondo kategori middleweight 73kg wanita pada temasya Sukan Sea XXV Laos, semalam.

VIENTIANE – Walaupun banyak pingat emas yang tersasar pada hari kedua, namun kemenangan bergaya perenang negara, Siow Yi Ting memecah rekod Sukan SEA berusia 10 tahun ketika meraih emas 200 meter rampaian individu wanita menceriakan kontinjen Malaysia, semalam.

Malah, keseluruhannya, ada tiga rekod kebangsaan dipecahkan apabila renang memulakan saingan semalam, pembukaan yang cukup sempurna buat pasukan akuatik, yang hanya meletakkan sasaran sederhana, dua emas di Laos.

Hanya sehari sebelum menyambut ulang tahun ke-24 hari ini, Yi Ting meraih hadiah paling istimewa apabila mencatat masa peribadi terpantasnya, dua minit, 14.57 saat untuk memadam rekod lama milik perenang Singapura, Jocelin Yeo - 2:17.17s yang dilakukan di Temasya Brunei 1999.

Catatan tersebut memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri, 2:16.92s yang dilakukan pada Sukan Komanwel 2006, malah mengetepikan pencabar utamanya, J. Natthanan dari Thailand (2:18.98s), manakala Koh Hui Yu dari Singapura meraih gangsa.

Malah, kombinasi Foo Jian Beng, Kevin Yeap, Kevin Lim dan Daniel Bego turut menceriakan kontinjen renang negara apabila memecah rekod 10 tahun kebangsaan dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki untuk membawa pulang gangsa.

Rangkaian Jian Beng, Kevin Yeap, Kevin Lim dan Daniel mencatat 7:36.89s, memadam rekod lama - 7:40.88s yang dilakukan kuartet Allen Ang, Elvin Chia, Wan Azlan Abdullah dan Allen Ong pada Sukan SEA 1999.

Kolam renang turut menghadiahkan sebutir gangsa menerusi acara 4x200m gaya bebas wanita yang diperkuatkan Yi Ting, Lai Wei Li, Hii Siew Siew dan Khoo Chai Lin dengan catatan 8:29.12s, tetapi sebelum itu, Chui Lai Kwan terlebih dulu mencuri tumpuan dengan memecah rekod 100m gaya bebas kebangsaan dengan mencatat 57.59s, memadam rekod milik Leung Chii Lin 58.02s.

Pingat emas Yi Ting hadir kira-kira empat jam selepas Che Chew Chan menghadiahkan emas pertama Malaysia di Temasya Laos dalam acara taekwondo middleweight wanita (bawah 73kg).

Walaupun sudah menerima hadiah terbaik untuk menyambut hari jadinya, namun ia belum cukup untuk menggembirakan Yi Ting, yang mahu memburu dua lagi emas idamannya, dan salah satu daripadanya ditawarkan dalam acara 100m kuak dada hari ini.

“Perlumbaan 200m rampaian memang sentiasa menjadi acara kegemaran saya, malah saya memang mensasarkan pingat emas di sini, tetapi berjaya menamatkan perlumbaan dengan rekod baru kebangsaan dan Sukan SEA, sesuatu yang cukup menakjubkan.

“Ia adalah hadiah terbaik untuk menyambut hari jadi saya, tetapi saya mahukan lebih daripada itu. Pemburuan saya belum berakhir, saya berharpap untuk mencari emas apabila turun dalam 100m kuak dada esok, selain dalam 200m kuak dada,” kata Yi Ting, yang turut beraksi dalam acara 400m rampaian individu.

Keseluruhannya, hari kedua Sukan SEA XXV memberikan dua emas, lima perak dan tujuh gangsa, agak mengecewakan daripada apa yang diharapkan selepas beberapa sukan harapan seperti karate dan menembak gagal memenuhi sasaran.

Karate gagal menyumbang walau satupun emas, sekali gus menggugat sedikit sasaran sukan itu untuk membawa pulang empat emas di Laos.

Semalam, mereka hanya mampu menyumbangkan tiga perak dan satu gangsa. Kesemua perak disumbangkan Tan Chee Seng dalam kata individu lelaki, selain kata berpasukan lelaki dan wanita. Gangsa pula diraih Lim Lee Lee dalam kata individu wanita.

Namun, pencapaian yang dicatat di arena angkat berat cukup mencuri tumpuan. Satu perak dan dua gangsa berjaya diraih, dan tumpuan utama pastinya kepada perak tidak diduga yang dirangkul oleh Raihan Yusoff dalam kategori 53kg wanita. Dua gangsa angkat berat diraih Zaira Zakaria (48kg wanita) dan Amirul Hamizan Ibrahim dalam 56kg lelaki.

Di lapangan sasar menembak, harapan untuk melihat emas dari acara 10m air rifle wanita tidak kesampaian apabila trio Shahera Rahim Raja, Nur Suryani Mohamad Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim hanya meraih perak di belakang Thailand.

Malah, Nur Ayuni juga terlepas peluang untuk menyumbangkan emas dalam acara indvidu yang berakhir dengan dia sekadar meraih gangsa. – utusan

No comments:

Post a Comment