Friday, December 11, 2009

Emas pertama dari taekwondo


CHEW CHAN (kanan) mengasak atlet Vietnam, Ha Thi Nguyen pada perlawanan akhir acara taekwondo kategori middleweight 73kg wanita semalam.


VIENTIANE, Laos - Selepas upacara pembukaan temasya Sukan SEA XXV, Rabu lalu, lagu Negaraku berkumandang buat kali kedua semalam, kali ini bagi meraikan kejayaan atlet taekwondo negara, Che Chew Chan meraih pingat emas sulung buat kontinjen Malaysia.

Chew Chan mengesahkan pingat emas menjadi miliknya selepas mengetepikan atlet Vietnam, Nguyen Ha Thi dengan kiraan mata 3-2 pada aksi final kategori middleweight (73 kilogram) wanita di Gimnasium Booyong, Universiti Nasional Laos.

Tampil selaku penyandang juara, Chew Chan dianggap pilihan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

"Saya gembira dan berbangga kerana dapat menghadiahkan pingat emas pertama kepada kontinjen Malaysia. Saya dapat rasakan perasaan meraih pingat emas di Laos berbeza sama sekali ketika saya memenangi emas pada Sukan SEA sebelum ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berusaha keras untuk menyenaraikan acara taekwondo pada Sukan SEA di Laos walaupun sebelum ini kami menghadapi pelbagai masalah dalaman," kata Chew Chan ketika ditemui semalam.

Kejayaan semalam merupakan kali keempat atlet berusia 27 tahun itu merang- kul pingat emas pada Sukan SEA.

Chew Chan meraih pingat emas pertama Sukan SEA pada temasya 2001 di Kuala Lumpur, namun dia gagal mempertahankannya di Vietnam dua tahun kemudian apabila sekadar meraih pingat perak.

Bagaimanapun, Chew Chan menebus semula kegagalannya apabila muncul juara pada Sukan SEA 2005 di Filipina dan temasya 2007 di Korat, Thailand.

"Saya berharap dengan kejayaan saya ini, atlet Malaysia yang lain terus bersemangat untuk menambah pungutan pingat emas di Laos," kata Chew Chan yang terpaksa berehat panjang selepas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China kerana menjalani pembedahan di bahagian lutut kiri dan kanan.

Terdahulu, Lee Wan Yuen menyumbang pingat gangsa buat skuad taekwondo negara dalam acara heavyweight (73 kilogram ke atas) wanita.

No comments:

Post a Comment