Tuesday, December 22, 2009

Emas ke-30 daripada Fauzi


FAUZI (kanan) berkongsi kegembiraan bersama Ahmad Shabery selepas menghadiahkan pingat emas ke-30 buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA XXV semalam.


VIENTIANE, Laos - Pesilat negara, Mohd. Fauzi Khalid tidak pernah menyangka dia akan menjadi tumpuan sebaik sahaja meraih pingat emas acara silat tanding kategori 75 kilogram lelaki di Pusat Pameran Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa (ITECC) semalam.

Apa tidaknya, sejurus selepas melangkah keluar daripada gelanggang pertandingan, Fauzi telah dimaklumkan bahawa dia muncul atlet yang menyumbang pingat emas ke-30 buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA XXV.

Angka 30 dianggap cukup signifikan kerana sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) telah menetapkan sasaran 30 hingga 35 pingat emas buat kontinjen Malaysia yang beraksi pada temasya dwitahunan itu.

Ternyata Fauzi muncul wira kontinjen Malaysia apabila menghadiahkan pingat emas yang ke-30 sebelum temasya Sukan SEA XXV melabuhkan tirainya hari ini.

"Saya gembira apabila diberitahu meraih emas ke-30 untuk kontinjen Malaysia. Sebelum turun beraksi, saya tidak terlalu memikirkan perkara ini kerana tumpuan saya lebih kepada lawan yang akan saya hadapi.

"Sudah rezeki saya kerana dapat meraih emas hari ini (semalam) dan lebih menggembirakan apabila saya dapat menyumbang emas ke-30 buat kontinjen Malaysia.

"Saya percaya selepas ini akan ada lagi pingat emas yang akan diraih atlet negara, tidak kiralah dalam mana-mana acara sekalipun," kata Fauzi ketika ditemui semalam.

Pada saingan akhir semalam, Fauzi mengesahkan pingat emas menjadi miliknya apabila menumbangkan atlet Vietnam, Truang Van Mao dengan kiraan mata 5-0.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek memuji kejayaan Fauzi menghadiahkan emas ke-30 sehingga membolehkan kontinjen Malaysia mencapai sasaran awal pada Sukan SEA kali ini.

"Nampaknya tuah sasaran awal 30 emas hadir dalam acara silat. Saya berharap kejayaan beliau (Fauzi) memberi semangat kepada atlet lain untuk memenangi acara masing-masing sebelum Sukan SEA di Laos berakhir," kata Ahmad Shabery. KOSMO

No comments:

Post a Comment