VIENTIANE - Berbekalkan pengalaman tiga kali menyertai Sukan SEA dan kejayaan memenangi dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa, perenang negara, Khoo Cai Lin terus berazam untuk meraih pingat emas dalam acara kegemarannya itu.
Acara renang akan bermula di Kompleks Sukan Nasional Laos, Khamis ini.
Cai Lin yang tiba pagi semalam bersama atlet skuad renang negara yang lain berkata, dia akan mengambil bahagian dalam acara kegemarannya iaitu 400m individu, 800m gaya bebas individu dan 200m kupu-kupu.
"Saya harap dapat mempertahankan dua pingat emas yang saya menangi dalam kedua-dua acara (400m dan 800m gaya bebas) di Vientiane ini.
"Bagaimanapun, saya menjangka akan mendapat saingan sengit daripada perenang Singapura," katanya.
Perenang yang mewakili negara bagi kali keempat ke Sukan SEA itu berkata, dia juga mungkin mengambil bahagian dalam acara rampaian atau berpasukan.
Melalui penampilan sulung pada Sukan SEA 2003, Cai Lin menang pingat gangsa bagi acara 800m gaya bebas individu sebelum meraih dua pingat perak bagi acara 400m individu dan 800m gaya bebas individu pada Sukan SEA 2005 di Filipina.
Menduduki ranking ketiga di rantau ini, Cai Lin kemudian memenangi dua lagi pingat emas melalui acara sama pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
Perenang kelahiran Selangor ini juga berjaya memecahkan rekod Sukan SEA bagi acara 400m gaya bebas individu dengan catatan masa empat minit 18.20 saat berbanding rekod sebelum itu 4:19.13s yang dicatat oleh Pilin Tachakittiranan dari Thailand.
No comments:
Post a Comment