Thursday, November 19, 2009

Zolkples: Siapa keseorangan?




KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

'Kami beri kerjasama sama seperti diberi kepada semua chef-de-mission sebelumnya'

TAFSIRAN luah rasa chef-de-mission kontinjen negara, Datuk Dr Ramlan Aziz yang berasakan diri ibarat 'keseorangan' sepanjang tempoh persiapan ke temasya Sukan Sea di Laos, gagal difahami Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya tidak faham bagaimana isu ini boleh timbul. MSN tiada masalah untuk bekerjasama dengannya. Kami beri kerjasama sama seperti diberi kepada semua chef-de-mission sebelumnya,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

Malah, Zolkples menegaskan betapa MSN tahu tanggungjawab perlu dilaksanakan.

“Program latihan atlit adalah tanggungjawab kami. Lagipun, kebanyakan atlit Sukan Sea juga memikul cabaran pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel, tahun depan, selain dalam program Sukan Olimpik 2012.

“Saya juga mempengerusikan banyak mesyuarat dengan persatuan sukan selama ini dan tiada masalah timbul. MSN sentiasa laksanakan tugas kami. Saya tidak nampak langsung bagaimana isu ini boleh timbul,” tegasnya.

Datuk Dr. Ramlan Aziz

Malah, Zolkples turut menegaskan bahawa MSN akan menganjurkan kem latihan fasa terakhir daripada 30 November sehingga 4 Disember nanti.

“Kita juga sudah jemput Timbalan Menteri Belia dan Sukan untuk majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara pada 4 Disember nanti,” katanya.

Dr Ramlan sebelum menyifatkan persediaan ke Laos sebagai ‘agak lesu’ dan mengharapkan kerjasama lebih erat daripada pihak pengurusan, terutamanya daripada MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“MSN tidak pernah pandang rendah cabaran atlit negara ke Sukan Sea, biarpun temasya itu bukan lagi keutamaan tertinggi MSN. Kita sudah tetapkan sasaran antara 30 sehingga 35 pingat emas di Laos nanti.

“Malah ada laporan Dr Ramlan mahu kaji semula sasaran pingat emas, itu terpulang kepadanya. Tetapi sasaran dibuat berdasarkan penilaian kemampuan atlit,” katanya.




Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my



No comments:

Post a Comment