Thursday, November 19, 2009

Nurul Farhana akur persediaan singkat


WALAUPUN membuat persediaan yang singkat, Nurul Farhana Johari optimis untuk melakukan angkatan yang terbaik di Laos nanti.

KUALA LUMPUR - Ketika rakan atlet yang lain lebih awal membuat persediaan ke Sukan SEA Laos, atlet angkat berat wanita negara, Nurul Farhana Johari hanya baru dua minggu memulakan latihan.

Peserta angkat berat kelas 63 kilogram itu terpaksa mengharungi persediaan singkat lantaran baru sahaja pulih daripada pembedahan akibat kecederaan pinggang dan hanya dapat memulakan latihan ringan sejak dua minggu lalu.

Menurut atlet kelahiran Jitra, Kedah berusia 21 tahun ini, dia akur tidak dapat menyertai skuad angkat berat negara lain menjalani latihan di China ketika ini disebabkan pembedahan yang dijalaninya.

''Saya mengalami kecederaan di pinggang ketika menjalani latihan di China sejak 2004 lagi.

''Jun lalu, saya menjalani pembedahan dan hanya pulih sepenuhnya dua minggu lalu.

''Setelah bebas daripada sebarang risiko kesakitan, saya menjalani latihan untuk ke Sukan SEA dan dengan persediaan yang singkat, sukar untuk meramalkan peluang saya.

''Namun, saya akan cuba untuk melakukan angkatan yang terbaik di Laos nanti,'' katanya ketika dihubungi kelmarin.

Nurul Farhana layak secara merit ke Laos apabila melakukan angkatan 90kg bagi acara snatch dan 110kg dalam clean & jerk pada kejohanan Asia di Kazakhstan Jun lalu.

Beliau pernah mewakili negara pada Sukan Komanwel 2006 Melbourne, Australia.

Nurul Farhana merupakan pemenang pingat emas dalam kelas 63kg pada temasya sukan Mini Olimpik, Julai lalu.

Walaupun tidak diletakkan sebarang prospek pingat, semangat enggan mengalah Nurul Farhana yang tetap bersemangat untuk beraksi pada Sukan SEA, wajar dipuji.

"Saya tidak sempat menyertai rakan-rakan mengadakan latihan di China kerana ketika mereka bertolak ke luar negara, saya masih mendapatkan rawatan dan belum pulih sepenuhnya.

"Latihan dua minggu yang saya jalani sekarang belum lagi memasuki peringkat sukar.

"Saya tetap bersemangat untuk ke Laos memandangkan ini merupakan penyertaan pertama saya di peringkat Sukan SEA.

"Sasaran saya untuk memberikan yang terbaik di Laos nanti, sekurang-kurangnya menyamai angkatan terbaik seperti di Kazakhstan tempoh hari.

"Saya menjangkakan cabaran dari atlet angkat berat Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Pada umumnya, kemampuan saya dan pencabar saya di kalangan rantau Asia Tenggara tidak banyak berbeza, namun saya tidak berani meramalkan peluang pingat,'' katanya. UTUSAN

No comments:

Post a Comment