Tuesday, December 1, 2009

Selamat berjuang wira bola sepak negara

ESOK, skuad bola sepak lelaki negara akan membuka cabaran mereka dalam kempen Sukan Sea Laos menentang Timor Leste - atlit Malaysia pertama yang akan beraksi dalam temasya serantau yang akan dibuka secara rasminya pada 9 Disember.


Selepas diundi bersama dua lagi pasukan gergasi, Thailand dan Vietnam, persoalan yang pasti bermain dalam fikiran peminat bola sepak negara tentunya mampukah barisan kali ini membawa pulang pingat emas acara itu.

Tempoh 20 tahun sejak kali terakhir memenanginya adalah terlalu lama. Kali terakhir Malaysia menjuarainya adalah pada 1989 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.



Selepas itu hanya sekali Malaysia mara ke final iaitu pada 2001 tetapi sepanjang tempoh 20 tahun itu juga, skuad negara pernah menerima aib apabila tumbang kepada pasukan kerdil, Filipina (1991) dan Laos (1997), kedua-duanya dengan 0-1.

Rekod sebenarnya kurang memihak kepada skuad negara apa lagi kali terakhir Malaysia memenangi emas bola sepak di gelanggang lawan adalah 30 tahun lalu, ketika Indonesia kali pertama menganjurkan Sukan Sea pada 1979, dua tahun selepas mengambil bahagian buat julung kalinya di Kuala Lumpur.

Kalau dilihat daripada semua itu, mungkin ada pemain dalam skuad negara ketika ini yang belum lahir ketika kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea.

Namun, penulis percaya anak-anak muda dalam skuad itu sekarang tahu betapa tinggi harapan yang disandarkan kepada mereka yang turut mengharapkan peluang membantu menaikkan semula nama negara di pentas antarabangsa.

Belumpun ke Vientiane, skuad itu sudah menerima ujian besar apabila terpaksa menunggu berjam-jam di Pangkalan TUDM, Subang, semalam selepas pesawat tentera yang dijadual membawa mereka, gagal berlepas kerana tidak mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa Laos.

Jalan mudah yang mahu digunakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan menggunakan pesawat tentera, kini memakan diri apabila pemain kehilangan satu hari berharga untuk perjalanan, sebelum menjalani latihan hari ini menjelang perlawanan esok.

Memang agak sukar untuk memahami tindakan menghantar skuad negara menggunakan pesawat tentera ketika Laos, sebuah negara sosialis, juga sudah nampak begitu sukar memberikan lampu hijau kepada wartawan untuk meliputi temasya itu.

Kini, skuad negara hanya dijadualkan berlepas jam 8 pagi ini, kira-kira 24 jam lewat daripada jadual sebenar, sedangkan mereka harus beraksi menentang Timor Leste, esok.

Begitupun, penulis berharap pemain muda negara melupakan kesukaran itu dan bangkit memberi aksi yang boleh dibanggakan seperti yang ditunjukkan ketika menentang juara Inggeris, Manchester United, Julai lalu.

Malah, pemain harus menjadikan kesukaran itu sebagai pencetus semangat untuk menggapai impian kerana tiada kejayaan yang lebih manis selepas mengharungi kesukaran.

Kini, seluruh rakyat negara ini pasti menanti sinar kegembiraan dari Laos khususnya daripada skuad bola sepak. Selamat berjuang.BHARIAN

No comments:

Post a Comment