Tuesday, December 1, 2009

MSN kecewa sukan tak sertai perhimpunan


KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) kecewa kerana ada sukan yang tidak mengambil bahagian pada Perhimpunan Kontinjen Sukan SEA yang bermula semalam tanpa memberikan alasan kukuh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong berkata, perhimpunan tersebut tidak langsung mengganggu latihan atlet, sebaliknya ia diadakan untuk memberi motivasi dan mewujudkan bahang Sukan SEA

Katanya lagi, sepanjang perhimpunan, atlet negara akan menghadiri sesi motivasi yang diadakan di sebelah malam bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik dan berpasukan di kalangan mereka.

Malah, mereka juga akan diberi pendidikan mengenai penyalahgunaan dadah dan sains sukan, selain diperkenalkan kepada suasana perkampungan sukan apabila dibawa menaiki bas dari tempat penginapan ke gelanggang latihan.

"Saya kecewa apabila ada sukan yang tidak menyertai perhimpunan ini kerana mengadakan program mereka sendiri pada saat akhir, ia hanya merugikan atlet mereka.

"Memanglah ia tiada paksaan tetapi perhimpunan seperti ini mampu mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi di kalangan atlet, mereka harus menyokong di antara satu sama lain. Sukan yang sebelum ini berlatih di luar negara seperti angkat berat dan tinju sanggup pulang untuk menyertai perhimpunan tetapi sukan yang memang berada di sini, buat program di tempat lain,'' katanya.

Skuad sepak takraw lelaki antara yang tidak menyertai perhimpunan atlet kebangsaan kali ini kerana mempunyai program di Pulau Pinang, manakala badminton hanya menghantar separuh pemain mereka kerana sebahagian yang lain berada di Johor untuk Kejohanan Siri Super Masters Akhir.

Turut terlepas perhimpunan tersebut adalah bola sepak, selain judo dan taekwondo. UTUSAN

No comments:

Post a Comment