Tuesday, December 1, 2009

Hanya yang terbaik ke Sukan SEA


JURULATIH skuad B-23 negara, K. Rajagobal (berdiri kiri) serius memberi tunjuk ajar kepada anak didiknya selepas perlawanan menentang Maldives di Shah Alam kelmarin.


HANYA pemain yang benar-benar serius untuk mencipta kejayaan akan dibawa jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal ke Vientiane, Laos Isnin ini bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2009, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara hanya diberi rehat sehari sempena Aidiladha semalam dan mereka bakal kembali menjalani latihan hari ini dan esok sebelum Rajagobal menamakan 20 pemain terakhir ke Laos.

Pada perlawanan ujian terakhir menentang skuad kebangsaan Maldives di Stadium UiTM, Shah Alam kelmarin, skuad B-23 negara tewas 0-1 menerusi jaringan penalti pada awal separuh masa kedua meskipun mereka lebih banyak mencipta peluang dan menguasai permainan.

"Walaupun nampak kita lebih banyak menyerang dan mendapat peluang berbanding Maldives, pemain-pemain perlu sedar jika mereka main dengan lebih serius, kita boleh menang 4-1 atau 5-1.

"Jadi ini pengajaran baik untuk pemain-pemain kita. Mereka perlu lebih serius, perlu lebih rajin dan berkerja keras. Saya akan bawa 20 pemain yang betul-betul serius," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Kekalahan kepada Maldives itu bukanlah sesuatu yang merisaukan kerana Rajagobal telah menurunkan 23 pemain pada perlawanan tersebut kecuali penjaga gol utama, Farizal Marlias yang direhatkan dan Abd. Manaf Mamat yang mengalami demam panas.

Penyerang Perak, Razali Umar Kandasamy yang diturunkan sepanjang 45 minit babak kedua dilihat paling banyak mensia-siakan peluang keemasan tetapi Rajagobal melihat ia dari sudut positif.

"Memang saya kecewa kerana dia (Razali) sepatutnya boleh mencatat hatrik. Tapi kita dapat kesan yang dia pandai masuk dalam kotak penalti, berada di posisi betul dan pandai mencari peluang. Ia bagus, cuma pemain perlu lebih serius," jelas Rajagobal.

Skuad B-23 negara yang diletakkan dalam Kumpulan A akan memulakan cabaran bertemu Timor Leste pada Rabu ini diikuti aksi bertemu Vietnam (6 Disember), Kemboja (8 Disember) dan Thailand (11 Disember) untuk menduduki dua tangga teratas ke separuh akhir. KOSMO

No comments:

Post a Comment