Wednesday, October 21, 2009

Raja bawa skuad ke Tashkent


Oleh Harris Rajahdin

Safee, Indra Putra harap dapat panggilan wakili pasukan kebangsaan semula

MELIHATKAN Sukan Sea hanya dipisahkan sebulan, jurulatih K Rajagobal membayangkan akan membawa barisan bawah 23 tahun negara ke ke Tashkent bagi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan pada 14 November ini.

Namun, pengendali kebangsaan itu enggan mengenepikan kemungkinan membawa beberapa senior untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi lawan yang pernah memalukan Malaysia 5-0 pada pertemuan kali terakhir, di Piala Asia 2007.


"Dengan Sukan Sea begitu dekat, saya akan menumpukan terhadap pasukan bawah 23 bagi perlawanan menentang Uzbekistan, sambil menyelitkan beberapa pemain senior.

"Saya menonton perlawanan Uzbekistan ketika menentang Jepun dalam kelayakan Piala Dunia dan Jepun begitu bernasib baik menang satu gol," katanya.

Tonggak senior yang hampir pasti disenaraikan adalah Norhafiz Zamani Misbah, Amri Yahyah yang menampilkan aksi membanggakan ketika digandingkan dengan pemain muda dalam kunjungan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Antara pemain yang mengharapkan panggilan Rajagobal adalah penyerang Selangor, Safee Sali (gambar) dan pemain tengah, Indra Putra Mahyuddin.

Perlawanan kelayakan itu akan dilangsungkan secara timbal balik dengan pertemuan kedua akan di langsungkan di Kuala Lumpur, empat hari selepas itu.

Dalam pada itu, Rajagobal tidak mahu dilihat sebagai mempertahankan dirinya daripada sebarang kekecewaan di Laos dengan menyatakan kesediaannya dipecat tetapi meminta sekurang-kurangnya diberikan tempoh tiga tahun untuk mengemudi pasukan itu.

"Cuba awak tanya mana-mana jurulatih, siapa yang mahu kalah? Jika saya gagal selepas tiga tahun, anda (wartawan) boleh tulis 'Rajagobal seharusnya dipecat'. Tetapi berilah saya peluang bersama pasukan ini sebelum anda membuat penghakiman," katanya.

No comments:

Post a Comment