Tuesday, October 20, 2009

PSM Beku Cuti Pemain Tumpu Persiapan Ke Sukan SEA Laos


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Para pemain skuad sepak takraw negara tidak akan dibenarkan bercuti bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Sukan SEA di Laos awal Disember ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahya.

Beliau berkata perkara itu terpaksa dilakukan bagi memastikan impian meraih satu pingat emas pada temasya dwitahunan itu dapat direalisasikan.

"Kita sedar sebilangan besar daripada mereka baru sahaja menyertai beberapa kejohanan antarabangsa, namun latihan pusat tetap diteruskan sehingga berlangsungnya temasya di Laos itu.

"Ini termasuklah 'membekukan' cuti hari raya Aidiladha pada penghujung November ini yang akan digantikan dengan kem motivasi selama tiga hari yang dianjurkan oleh pihak persatuan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Arshad berkata perkara itu telah dipersetujui oleh semua pemain yang nyata bersemangat dengan kejayaan regu kebangsaan iaitu Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan dan Syafiq Ab. Rahman yang menewaskan regu Thailand di Kejohanan Piala Terbuka Antarabangsa Vietnam pada 7 Okt lepas.

Kejayaan mengalahkan regu Thailand itu dikecapi setelah regu kebangsaan tewas dalam beberapa kejohanan antarabangsa seperti Jemputan Piala Raja Muda Perlis di Kangar (Februari), Kejohanan Dunia Piala Malaysia di Kuala Terengganu (Mei), Piala Raja Thai di Bangkok (Julai) dan Sukan Dunia di Kaoshiung, Taiwan (Julai).

"Bagi temasya dwitahunan itu, kita akan menurunkan barisan terkuat kerana semua pemain kini cergas sepenuhnya kecuali Mohd Azlan Mubin yang masih dibelenggu kecederaan setelah menjalani pembedahan lutut di kedua-dua belah kakinya," katanya.

Pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lepas Malaysia menarik diri berikutan isu penggunaan bola baru bersalut getah iaitu Marathon Gen-II yang didakwa persatuan boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas sepak takraw pada Sukan SEA 2005 melalui regu Mohamad Normanizan Ahmad, Mohd Putra Abdul Ghani dan Mohd Zulkarnain Arif.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment