Friday, October 2, 2009

Medan pilih penerjun ke Laos

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my

Jemputan Malaysia di Paroi penilaian terakhir penerjun negara

KEJOHANAN Terjun Terbuka Jemputan Malaysia yang bermula di Pusat Akuatik Negeri Sembilan di Paroi Seremban, hari ini, menjadi medan penilaian terakhir terhadap penerjun negara yang kini dalam persiapan menghadapi Sukan Sea Laos, Disember depan.

Kejohanan dua hari itu yang membabitkan saingan 28 peserta termasuk dari Australia, satu-satunya pasukan luar negara yang mengesahkan penyertaan, amat penting dalam misi negara menuai pingat emas pada temasya dwitahunan akhit tahun ini

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Negeri Sembilan (PRANS), Andy Low Siak San, berkata Australia menghantar sembilan penerjun kebangsaannya dan akan menjadi pencabar utama kepada penerjun negara.

Katanya, Malaysia membariskan 16 penerjun termasuk daripada kalangan pelapis dan antara mereka ialah Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong yang menjadi sandaran negara meraih pingat emas di Laos nanti.

"Walaupun hanya Australia yang mengesahkan penyertaan kali ini, saya yakin kejohanan ini tetap menghadirkan saingan sengit kerana Australia juga antara pasukan terkuat dalam acara terjun," katanya.

Menurut Andy, kejohanan anjuran Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), PRANS dan Majlis Sukan Negara (MSN) itu pada asalnya turut mempelawa beberapa pasukan lain antaranya Thailand dan Singapura tetapi negara terbabit tidak dapat mengambil bahagian kerana belum bersedia.

Andy berkata, pihaknya tetap percaya kejohanan itu akan dapat membantu penerjun negara memperkemaskan lagi persiapan mereka terutama daripada segi teknik terjunan sebelum memulakan cabaran di Laos nanti.

Beliau berkata, kejohanan itu adalah medan terakhir buat penerjun negara dalam menguji kemampuan mereka sebelum Sukan Sea kerana selepas ini tiada lagi kejohanan membabitkan atlit luar negara.

No comments:

Post a Comment