Thursday, September 3, 2009

Sepak takraw sasar perak


KUALA LUMPUR - Menyedari pencapaian terbaru hanya bersifat sederhana, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail pantas mengumumkan cuma pingat perak sebagai sasaran skuad negara pada Sukan SEA Laos, Disember ini.

Biarpun masih menyimpan harapan mengintai sebutir emas sama ada berpasukan, antara regu dan beregu lelaki pada temasya itu, beliau menganggap sasaran terbaru lebih 'berpijak di bumi' dan tidak terlalu menekan anak buah Haris Abd. Rahman ini.

"Kita pun sudah jatuh ke ranking keempat dunia ketika ini (selepas dikalahkan Thailand, Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan sepanjang Kejohanan Dunia Piala Malaysia dan Piala Raja Thai dari Mei hingga Julai lalu), jadi biarlah cuma perak jadi sasaran dalam Sukan SEA Laos.

"Di Laos, kita cuba ambil balik posisi kedua itu (di belakang Thailand) namun bagi Sukan Asia Guangzhou 2010, tiada kompromi - satu emas mesti dibawa pulang," katanya selepas majlis berbuka puasa PSM di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, semalam.

Bagaimanapun Ahmad menegaskan, persediaan skuad elit ke Laos terus dipergiatkan biarpun pada bulan Ramadan dengan siri perlawanan sepelatih menentang dua regu Tentera Laut Thailand diatur dari Ahad hingga 16 September di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil.

No comments:

Post a Comment