Thursday, September 3, 2009

'Sasaran 35-40 emas realistik'


Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

Usah banding Korat, Manila: Dr Ramlan

PADA ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberikan angka 40 pingat emas dan Majlis Sukan Negara (MSN) sekitar 30, chef-de-mission Sukan Sea XXV, Datuk Dr Ramlan Aziz tampak memilih pendekatan selamat dengan mengambil jalan tengah.

Baginya, sasaran emas antara 35 dan 40 emas di Laos, Disember nanti adalah realistik.

Bagi Dr Ramlan, congakan awal itu adalah satu angka yang munasabah berdasarkan kepada laporan awal prestasi atlit daripada 21 persatuan sukan kebangsaan yang akan berkunjung ke Vientiane.

Namun, Dr Ramlan menjelaskan sasaran itu mungkin berubah dalam beberapa bulan menjelang Sukan Sea apabila persatuan sukan kebangsaan memberikan penilaian yang lebih komprehensif mengenai prestasi atlit masing-masing dan juga saingan negara anggota Asia Tenggara.

“Bagi saya, sasaran antara 35 hingga 40 emas di Laos adalah munasabah,” kata Dr Ramlan pada sidang akhbar selepas perjumpaan dengan pengurus-pengurus pasukan Malaysia di di Bukit Jalil, semalam.

“Kita tidak seharusnya membandingkan sasaran itu dengan pencapaian di Korat (2007) ataupun Manila (2005) kerana ia berbeza daripada segi jumlah sukan dan acara yang dipertandingkan.

“Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa bagi atlit yang sudah memiliki taraf antara yang terbaik kelompok dunia ataupun Asia, seharusnya mereka tidak boleh gagal di Vientiane dan hanya pingat emas yang kita harapkan daripada mereka di sana,” katanya.

Pada masa sama, Ramlan turut menjelaskan sepatutnya hanya perlu ada satu sasaran pingat, bukannya dua sasaran yang berbeza antara MOM dan MSN.

“Sepatutnya MOM dan MSN bekerjasama dalam menampilkan hanya satu sasaran pingat,” katanya. “Apabila ada dua sasaran, ia sesuatu yang agak menghairankan.”

Sukan Sea XXV menyaksikan sejumlah 25 sukan dipertandingkan dengan beberapa sukan seperti gimnastik, bowling, ekuestrian dan lumba basikal (trek) tidak dipertandingkan.

No comments:

Post a Comment