Thursday, September 3, 2009

Buktikan kemampuan sebenar - MSN


PENERJUN wanita negara, Pandelela Rinong menjadi pertaruhan Malaysia pada Sukan SEA di Laos hujung tahun ini.


ATLET yang terlibat dalam program Cabaran 2010 dan Road to London 2012 perlu mempamerkan prestasi terbaik pada Sukan SEA di Laos penghujung tahun ini.

Jika gagal, mereka bakal diketepikan daripada program berkenaan.

Demikian peringatan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Ketua Bahagian Persediaan Atlet Elit MSN, Ariffin Mohd. Ghani berkata memandangkan Sukan SEA adalah temasya yang lebih rendah standardnya, atlet dalam dua program itu perlu tampil cemerlang.

"Jangan pula atlet yang tersenarai dalam ranking dunia tewas kepada atlet lebih rendah tarafnya," katanya kepada pemberita selepas beliau dan Ketua Kontinjen, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz memberi taklimat kepada pengurus-pengurus pasukan Malaysia ke Sukan SEA semalam.

Temasya di Laos akan bermula pada 9 hingga 18 Disember ini.

Program Cabaran 2010 melibatkan atlet yang disasarkan untuk bertanding pada dua kejohanan besar pada tahun hadapan iaitu Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China manakala program Road To London 2012 ialah program bagi mencari pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Olimpik di London pada 2012.

Ariffin berkata, walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) cuma mensasarkan antara 35 hingga 40 pingat emas dari Laos, sasaran yang dianggap realistik itu adalah untuk semua 21 sukan yang disertai Malaysia daripada 25 acara yang dipertandingkan.

"Bagi empat sukan di bawah program Road to London 2012 iaitu badminton, memanah, lumba basikal dan terjun, tiada alasan untuk mereka tewas kepada lawan yang lebih rendah tarafnya," katanya.

Beliau berkata, Sukan SEA akan dijadikan kayu pengukur untuk menilai atlet dalam dua program tersebut sebelum dibenarkan memasuki Fasa Tiga pada tahun hadapan.

Sementara itu, Ramlan berkata, sasaran 35 hingga 40 emas oleh KBS dan 40 emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebenarnya boleh dicapai oleh kontinjen Malaysia.

"Walaupun jumlahnya tampak berbeza tetapi sasaran itu tidak jauh bezanya kerana bagi saya yang lebih penting ialah mengukur sejauh mana kejayaan seseorang atlet itu berdasarkan prestasi peribadi atau prestasinya mengikut musim.

"Saya secara peribadi tidak menilai pingat yang dikutip tetapi lebih kepada pencapaian keseluruhan," katanya.

Ramlan berkata, sasaran sebenar pingat emas yang boleh diperoleh di Laos hanya akan diketahui pada mesyuarat bersama pengurus dan jurulatih sukan ke Sukan SEA pada hujung bulan ini.

No comments:

Post a Comment