Wednesday, September 2, 2009

Ramlan cari jalan penyelesaian

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my




Chef-de-mission negara yakin sasaran lebih tepat selepas perjumpaan hari ini

JURANG ketara di antara sasaran emas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerbitkan persoalan mengenai di mana ukuran realistik buat barisan atlit negara untuk temasya Sukan Sea di Laos, Disember nanti.

Ketika MOM bersikap optimis dengan sasaran minimum 40 pingat emas, MSN tampak lebih hati-hati apabila hanya mahu mensasarkan sekitar 30 emas daripada temasya serantau yang mempertandingkan 25 jenis sukan itu.

Chef-de-mission kontinjen negara, Datuk Dr Ramlan Aziz, bagaimanapun percaya akan mampu mencapai angka lebih tepat selepas bertemu barisan jurulatih, hari ini.

"Dua sasaran itu ditetapkan mengikut penilaian masing-masing. Mungkin ada yang berpendapat angka tinggi sebagai terlalu optimistik ketika yang rendah dilihat sebagai terlalu berhati-hati.

"Saya hanya akan membuat ramalan pingat selepas mengadakan pertemuan dan mendapat maklum balas daripada jurulatih, esok. Saya percaya ia akan memberi gambaran yang lebih tepat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dua tahun lalu di Korat, kontinjen negara meraih 68 pingat emas untuk muncul naib juara di belakang Thailand. Namun kali ini di Laos, beberapa sukan penyumbang banyak pingat negara seperti bowling, ekuestrian dan lumba basikal trek, tidak dipertandingkan.

Seperkara pasti, Dr Ramlan bingkas menepis tanggapan kontinjen negara ke temasya Sukan Sea di Laos kali ini tidak akan perlu menggalas tanggungjawab menunaikan sasaran yang dikehendaki.

"Memanglah daripada luarannya, kontinjen negara mungkin lebih mengutamakan pembangunan, dengan penghantaran lebih ramai atlit-atlit muda. Namun pada masa sama, kita bertanding untuk menang," katanya.

No comments:

Post a Comment