
SERAMAI 12 jaguh taekwondo negara telah dipilih bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA di Laos awal Disember depan.
Jurulatih taekwondo negara, R. Dhanaraj berkata, daripada 90 atlet yang disenarai pendek, lima orang atlet lelaki dan tujuh atlet wanita dipilih untuk mewakili negara ke temasya dwitahunan itu.
"Tujuh atlet wanita terdiri daripada Che Chew Chan, Elaine Teo, Nurul Asmfalina Mohd. Bohari, Nurul Nadia Mahamat, Denise Kok Mei Suet, Nor Idayu Mohd. Remey dan Lee Wan Yuen.
"Lima atlet lelaki ialah Ryan Chong Wy Lunn, Rusfredy Tokan Petrus, Harith Feizal Mat Nor, Mohd. Affifuddin Omar Sidek dan Chu Jensen," katanya semalam.
Dhanaraj berkata, beliau berpuas hati dengan sesi pemilihan tersebut walaupun skuad taekwondo pada edisi kali ini lebih kecil berbanding temasya di Korat dua tahun lepas.
"Saya harap walaupun telah lama tidak beraksi iaitu hampir lapan bulan, Elaine dan Chew Chan masih mempunyai keyakinan dan semangat untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka di Korat sebelum ini," katanya.
Danaraj berkata, sebagai 'pemanas badan', Elaine dan Chew akan menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada awal Oktober depan sebelum beraksi di Laos.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat sasaran pingat, namun harapan diletakkan kepada atlet wanita kerana mereka lebih berpengalaman daripada atlet lelaki.
Dhanaraj menambah, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk skuad lelaki kerana mereka belum pernah memenangi pingat emas pada temasya sebelum ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment