Wednesday, September 2, 2009

Pemain senior ke Sukan SEA


Lee Chong Wei


KUALA LUMPUR - Kegagalan mengutip sebarang pingat emas pada Sukan SEA Korat, dua tahun lalu memberi pengajaran buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa mereka tidak boleh lagi membariskan skuad kedua pada Temasya di Laos, Disember ini.

Walaupun Sukan SEA sebelum ini dilihat seperti kejohanan kelas kedua buat BAM, namun ia nyata masih punya nilai buat badan badminton itu apabila bercadang menghantar pemain utamanya seperti Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui di Laos nanti.

Bagaimanapun, temasya itu tidak sekadar menjadi medan untuk memburu pingat emas semata-mata, malah ia turut menjadi gelanggang pendedahan buat BAM yang bercadang menghantar barisan campuran - pemain senior dan pelapis dari 9-18 Disember ini.

"Keputusan untuk menghantar pasukan kedua pada Sukan SEA Korat bukan satu kesilapan, kita ada perancangan sendiri ketika itu tetapi malang sekali kita gagal membawa pulang pingat emas.

"Kali ini, kami bercadang menghantar pemain-pemain seperti Lee Chong Wei dan beregu utama tetapi pada masa yang sama, kita juga tetap menyenaraikan pemain muda, jadi ia adalah satu pasukan campuran.

"BAM tidak pernah anggap Sukan SEA tidak penting, kalau Temasya itu penting buat negara maka ia juga penting untuk kami tetapi keputusan dibuat berdasarkan relevan, kita kena tengok apa sasaran jurulatih dan perancangan mereka,'' ujar Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Malah, tegas Kenny lagi, rancangan untuk menghantar barisan campuran yang diketuai jaguh No. 1 dunia, Chong Wei masih di peringkat cadangan dan perlu dibincangkan dengan jurulatih pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan.

Chong Wei, 27, yang gagal membawa pulang kejuaraan pada Kejohanan Dunia di Hyderabad, baru-baru ini menyuarakan hasrat untuk beraksi di Sukan SEA kerana tidak pernah memenangi pingat emas.

Walaupun bergelar No. 1 dunia, namun pencapaian terbaik pemain itu adalah meraih gangsa di Temasya Manila 2005.

Sekiranya Malaysia serius hendak membawa pulang 40 emas di Laos, maka bantuan daripada badminton amat diperlukan untuk merealisasikan sasaran tersebut.

Khidmat pemain seperti Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong sememangnya ditagih untuk berdepan kuasa Sukan SEA, Indonesia, yang berdasarkan sejarah sentiasa membariskan pemain-pemain terbaik.

Dua tahun lalu, mereka berjaya mendominasi pentas akhir perseorangan lelaki dengan membariskan dua pemain terbaiknya, Taufik Hidayat dan Sony Dwi Kuncoro, malah mendominasi final beregu menerusi Markis Kido-Hendra Setiawan.

No comments:

Post a Comment