Friday, September 11, 2009

BAM jangan lepas tangan - Zolkples


KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) menegur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar tidak mengambil sikap 'lepas tangan' pada temasya yang dianggap kecil seperti Sukan SEA, hanya kerana mereka telah memenangi pingat pada Sukan Olimpik.

Malah, badan sukan kebangsaan itu juga mengingatkan BAM agar tidak menghantar pasukan pelapis pada temasya di Laos, 9-18 Disember ini seperti yang dilakukan pada Sukan SEA Korat, dua tahun lalu, di mana mereka pulang dengan tangan kosong.

Walaupun standard badminton Malaysia sudah bertaraf dunia, namun sebagai antara sukan paling 'mewah' dalam bajet MSN, mereka perlu membalas pelaburan besar yang dikeluarkan oleh badan sukan negara itu, sekalipun pada temasya sekecil Sukan SEA.

"Pada Sukan SEA Korat dua tahun lalu, MSN memberi kelonggaran kepada BAM menghantar pasukan kedua kerana kebanyakan pemain utama mereka hendak memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki ranking dunia untuk Sukan Olimpik.

"Bagaimanapun pada Sukan SEA kali ini, BAM tidak mempunyai alasan untuk tidak menghantar pasukan terbaiknya, apatah lagi Kejohanan Dunia juga sudah berakhir.

"BAM kena membuktikan sumbangan mereka. Walaupun telah menyumbang pingat pada Sukan Olimpik itu tidak bermakna mereka boleh lepas tangan pada temasya seperti Sukan SEA,'' kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong selepas majlis berbuka puasa bersama media di Bukit Jalil, semalam.

Tambah Zolkples lagi, melihat kepada barisan pemain Malaysia yang ada ketika ini, badminton sepatutnya boleh menyumbangkan lebih daripada sebutir emas, di mana tiga emas adalah sasaran yang realistik.

Begitupun beliau tidak menolak bahawa pelbagai faktor luar jangkaan, seperti kecederaan pemain di saat akhir mampu menjejaskan sasaran yang ditetapkan.

BAM sebelum ini memberi jaminan akan menghantar pemain utamanya, diketuai jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei ke Temasya Laos, malah bercadang untuk menurunkan barisan campuran yang dibarisi pemain senior dan remaja.

Pada Temasya Korat 2007, Malaysia hanya pulang bersama empat pingat gangsa selepas membariskan pasukan kedua dan merehatkan pemain seperti Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Hann, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.

Tambah malang lagi, pemain-pemain utama wanita seperti Wong Mew Choo dan beregu Chin Eei Hui pula ditimpa kecederaan ketika itu.

No comments:

Post a Comment