Tuesday, August 4, 2009

Suryani ceria dapat tiket ke Sukan Sea



NUR Suryani Mohd Taibi ada dua sebab untuk gembira dalam temasya Mini Olimpik kali pertama yang diadakan di Lapang Sasar Subang.

Pertama dia berjaya meraih dua pingat emas dalam acara menembak dan kedua, layak ke Sukan Sea Laos Disember nanti.

Dia layak ke Sukan Sea selepas meraih emas acara 10 meter raifal angin dengan catatan 397 mata kelmarin, sekali gus melepasi had kelayakan 391 yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Semalam, dia meraih pingat kedua peribadi dalam acara kegemarannya, 50 meter raifal tiga posisi yang turut disertai penembak dalam skuad elit negara.

Suryani membidik 574 mata dalam saringan dan mengumpul 674.3 mata pada pusingan akhir mengalahkan Shahera Rahim Raja yang meraih perak dengan catatan 574 (668.2 mata) dan Muslifah Zulkifli 571 (665.6 mata) untuk gangsa.

Bagaimanapun, Suryani kecewa kerana catatan itu gagal mengatasi rekodnya sendiri iaitu 589 (689.9 mata) yang diciptanya di tempat yang sama pada 2005.

“Apapun saya gembira kerana mencatat sejarah tersendiri dalam Mini Olimpik, dan sekali gus layak ke Sukan Sea Laos,” katanya.

Dia mahu berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan ada peningkatan dalam catatan mata peribadinya untuk dijadikan sandaran sewaktu bersaing di Laos nanti.

Oleh Mohd Ali Majid
bhsukan@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment