
KUALA LUMPUR - Usaha gigih Amirul Hamizan Ibrahim mengurangkan berat badan untuk layak bertanding dalam kelas 56 kilogram berbaloi apabila berjaya memecah rekod kebangsaan angkat berat pada temasya Mini Olimpik, semalam.
Angkatan 146 kilogram dalam clean & jerk memadamkan rekod lama milik sendiri 145kg yang dicatat pada Kejohanan Kebangsaan 2000 di Melaka.
Sebelum itu, Amirul membuktikan dia masih atlet angkat berat terbaik negara apabila mudah mengetepikan saingan atlet pelapis dalam acara snatch dengan angkatan 115kg.
Memecah rekod kebangsaan dalam acara clean & jerk ternyata memberi kepuasan kepada Amirul yang pernah digantung dua tahun akibat kesalahan doping.
''Sebelum digantung, saya beraksi dalam kelas 62kg, namun setelah kembali aktif, saya beralih ke berat badan 56kg. Bagi saya ia lebih selesa dan sesuai dengan saya.
''Untuk layak beraksi dalam kelas ini, saya berusaha mengurangkan berat badan dan akhirnya saya berjaya layak ke saingan berat badan yang lebih rendah.
''Saya amat berpuas hati dengan kejayaan memecah rekod kebangsaan kerana rekod ini sudah lama tidak diperbaharui, sejak 2002 lagi.
''Rekod baru ini juga membuktikan saya masih mampu melakukan angkatan yang baik walaupun lama digantung,'' katanya yang melakukan 261kg angkatan keseluruhan.
Amirul yang beraksi pada Sukan Olimpik Beijing tahun lalu berkata, sasarannya kini ialah memberi saingan dalam kelas yang sama pada Sukan SEA di Laos Disember ini.
Jelasnya, saingan dalam kelas 56kg paling mencabar di Sukan SEA kerana ia disertai oleh pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik Beijing.
''Saya tidak berani menjanjikan apa-apa pada Sukan SEA nanti kerana saingan saya begitu hebat.
''Atlet angkat berat Vietnam dan Indonesia masing-masing merupakan pemenang pingat perak dan gangsa sewaktu Olimpik Beijing tahun lalu.
''Apa yang dapat saya katakan, saya akan mencuba yang terbaik di Laos nanti,'' katanya.
Amirul yang mencipta nama dengan memenangi tiga pingat emas pada Sukan Komanwel Manchester 2002 berkata, saingan dari atlet pelapis di Mini Olimpik amat positif.
''Mereka berbakat, mampu memberi saingan sehingga saya terpaksa memiliki angkatan yang sesuai supaya tidak dapat diatasi oleh atlet pelapis.
''Kejohanan ini dapat memberi peluang atlet pelapis menyaingi atlet senior dan saya berharap menerusi kejohanan seperti ini, akan lahir atlet yang dapat menggantikan tempat saya,'' katanya.
No comments:
Post a Comment