Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
KEJAYAAN menjuarai acara 110 meter berpagar pada kejohanan Olahraga Terbuka Pahang hujung minggu lalu, mahu dijadikan asas buat pelumba negara, Robani Hassan untuk kembali ke tahap terbaik. Lima bulan berehat gara-gara kecederaan tulang belakang, kejohanan di Temerloh itu adalah yang pertama buat pelari kelahiran ibu kota itu ketika dia melakukan 14.04s untuk rekod kejohanan di depan seorang lagi pelari kebangsaan, Mohd Faiz Muhammad.
“Saya tidak begitu ambil berat mengenai catatan itu kerana apa yang penting saya perlu lebih pantas untuk mengejar kelayakan ke Sukan Sea Laos. Lagipun ini adalah kejohanan pertama saya tahun ini,” katanya.
Robani jelas mensasarkan mahu kembali selaku atlit terbaik Asia Tenggara dalam acara berkenaan selepas mahkota dimenanginya pada Sukan Sea Manila 2005 dirampas seorang lagi atlit negara, Rayzamshah Wan Sofian pada Sukan Sea Korat 2007.
Dan hasratnya hampir berkecai selepas kecederaan tulang belakang awal tahun ini selain dia semakin suntuk untuk mengejar had kelayakan ditambah pula dengan kurangnya kejohanan antarabangsa tahun ini kerana masalah keselamatan dan wabak Influenza A (H1N1).
“Kerana itu saya sasarkan jika ada banyak lagi kejohanan seperti Grand Prix di peringkat tempatan, saya boleh mengejar syarat kelayakan itu,” katanya yang perlu melakukan 13.95s untuk ke Laos.
Robani turut disenaraikan ke Mannheim, Jerman bagi menyertai kelompok atlit elit negara sebelum program berkenaan dibatalkan kerana H1N1, menegaskan dia tidak peduli untuk menyertai apa-apa saja kejohanan, asalkan ia mampu mempertingkatkan prestasinya.
No comments:
Post a Comment