Tuesday, June 2, 2009

PTAM harap Trasit hadir awal

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my


Kalen Asanov dan Ramli Yahya.

Peninju skuad negara tidak sabar mahu latih untuk Sukan Sea 2009

PERSATUAN Tinju Amatur Malaysia (PTAM) berharap jurulatih Thailand, Trasit Tangchai yang menggantikan Kalen Asanov, dapat tiba di negara ini secepat mungkin untuk segera memulakan tugasan melatih peninju negara ke arah cabaran Sukan Sea 2009 di Laos, akhir tahun ini.

Setiausaha Kehormat PTAM, Mejar (B) Maulud Othman, berkata pihaknya dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa Trasit akan tiba di negara ini dan memulakan tugas sebagai jurulatih tinju negara pada bila-bila masa.

Menurutnya, pihaknya merasa amat gembira kerana PTAM sudah merangka pelbagai program latihan ke arah meningkatkan lagi prestasi peninju menjelang temasya dwi-tahunan itu nanti dan perlu berbincang dengan jurulatih sebelum program berkenaan dilaksanakan.

"Saya tidak tahu tarikh sebenar ketibaan Trasit dan difahamkan bahawa beliau akan tiba awal Jun ini, difahamkan juga segala proses mengenainya berjalan lancar.

"Sememangnya kita berharap Trasit dapat segera memulakan tugas sebagai jurulatih bagi membolehkan setiap program latihan peninju yang sudah dirangka PTAM bagi tempoh jangka pendek dan panjang, dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

"Malah, kita memang mengharapkan sentuhan Trasit dalam meningkatkan lagi prestasi peninju bukan saja bagi merealisasikan sasaran pingat emas pada Sukan Sea tetapi kejohanan lebih besar antaranya Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Malaysia sebelum ini dibimbing Kalen Asanov, kelahiran Kyrgyzstan yang meletak jawatan pada 1 Disember lalu untuk pulang ke negara asalnya ekoran masalah peribadi.

Sejak itu, peninju kebangsaan menjalani latihan di pusat latihan MSN Keramat di bawah kendalian jurulatih sementara, Ramli Yahya selepas usaha PTAM mendapatkan pengendali kelahiran Cuba tidak kesampaian.

BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment