Monday, June 22, 2009

Pro & Kontra: Tidak wajar pandang remeh Sukan Sea Laos

Oleh Raja Ahmad Zainuddin

JAGUH atlit negara seperti Datuk Dr M Jegathesan, pelari pecut Asia, Rabuan Pit, ratu trek, Marina Chin dan Datuk Mumtaz Jaafar, tidak pernah merungut apabila menggalas cabaran negara tanpa mengira kejohanan apa sekalipun, malah merasa megah apabila mereka terpilih.

Justeru setiap kejohanan itu penting. Sukan Sea di Laos, Disember depan, bagi saya bukan saja mendapatkan pingat, tetapi medan untuk menentukan persediaan ke sukan lebih mencabar seperti Sukan Asia dan Komanwel, tahun depan.

Pada Sukan Sea di Korat, Thailand yang lalu, Malaysia meraih 68 pingat emas dan sudah pasti ini pencapaian terbaik negara dalam kejohanan yang dilangsungkan di luar negara, kerana kita menduduki tempat kedua di belakang tuan rumah.


Bagi Sukan Sea Laos, kejohanan kali pertama dianjurkan bagi merayakan ulang tahun ke-25 kejohanan serantau itu - banyak acara seperti gimnastik, bowling dan skuasy, lawn bowl serta ekuestrian yang selama ini menjadi lubuk emas negara, digugurkan.

Walaupun tidak banyak acara akan mendatangkan pingat, tetapi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menuntut setiap persatuan sukan kebangsaan usah mencari alasan untuk memandang remeh saingan temasya berkenaan.

Saya menyokong pandangan menteri itu bahawa jagoan negara terpilih nanti perlu beraksi dengan komitmen tinggi bagi memburu pingat emas.

Walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) berpandangan berbeza, tetapi saranan saya ikutilah nasihat menteri kerana yang penting apabila kita menganggap kejohanan ini penting, komitmen akan turut menjadi berkobar-kobar.

No comments:

Post a Comment