Thursday, June 18, 2009

‘Kita ketandusan pemain’


SKUAD sepak takraw negara kini semakin jauh ditinggalkan jiran, Thailand yang merupakan antara negara yang pernah mendapat tunjuk ajar permulaan daripada Malaysia sebelum menyertai Sukan SEAP 1965.


SEBELUM ini sekiranya tewas kepada Thailand, ia bukan lagi satu ‘berita’ kerana mereka diakui musuh ketat walaupun menurut sejarahnya, Malaysia yang mengajar negara Gajah Putih itu bermain sepak takraw sebelum memperkenalkannya pada Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

Namun detik hitam sepak takraw kita muncul dalam Sukan SEA Chiangmai 1995 apabila dikejutkan Singapura malah Myanmar sempat mencalitkan arang di Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001.

Selepas itu Indonesia termasuk Jepun turut mengganyang Malaysia dalam Piala Raja Thai 2006 dan Grand Prix Antarabangsa 2007.

Thailand semakin sukar digugat dan jauh meninggalkan kita dan Kejohanan Dunia - Piala Malaysia Ke-3, baru-baru ini jelas menyerlahkan keparahan skuad elit negara apabila dipintas Vietnam manakala pasukan A dan B tersungkur kepada Indonesia dua hari berturut-turut.

Apa sudah jadi dan apa yang tidak kena? Apakah Malaysia hanya layak digelar jagoan silam tetapi telah tenggelam sekarang seperti juara hoki Sukan Olimpik lapan kali, India?

Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL HAFIZ AHMAD menyingkap satu persatu isu prestasi merudum sepak takraw kita.

KUALA LUMPUR – Sinar kegemilangan dan kejaguhan Malaysia dalam satu-satunya sukan ciptaannya, sepak takraw, seakan-akan pulih apabila Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif mengakhiri kemarau pingat emas 12 tahun pada Sukan SEA Filipina 2005 dengan menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0.

Namun misi lebih besar untuk menggapai emas Sukan Asia Doha 2006, menemui kegagalan hanya gara-gara kelemahan mental, kecederaan dan kesilapan percaturan lantas program persediaan tahun berikutnya dirombak dan diperkemaskan demi menebus semula emas yang sudah terlepas sejak 1998.

Hanya segelintir pemain senior dikekalkan sementara muka baru dicungkil dan digilap daripada ujian pemilihan khas, Kejohanan Belia Kebangsaan dan Piala Emas Khir Johari sejak Februari 2007 tetapi perkembangannya tiba-tiba terencat setelah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memulaukan Sukan SEA Korat 2007 kerana membantah penggunaan bola baru bersalut getah, Marathon MT 903.

Setelah segalanya diselesaikan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) secara aman dan saksama biarpun berlarutan lima bulan, skuad elit negara kembali memusatkan perhatian mulai tahun lalu dengan sasaran utama ialah sebutir emas Sukan Asia Guangzhou 2010.

Itupun, monopoli Thailand bakal disekat menerusi arahan mengenai sesebuah negara tidak boleh menyertai kesemua acara dalam membolot pingat emas.

UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment