Thursday, June 18, 2009

Usah cari alasan: Ahmad Shabery

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my


MENTERI Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika mengadakan sidang akhbar di lobi Bangunan Parlimen, semalam. - Foto Bernama

'Atlit tidak boleh pandang mudah terhadap cabaran Sukan Sea Laos'

ANDAI 'maruah serantau' menjadi pertaruhan, jelas Datuk Ahmad Shabery Cheek menuntut setiap persatuan sukan kebangsaan usah mencari alasan untuk memandang remeh saingan di Sukan Sea Loas, Disember yang berbaki hampir enam bulan lagi.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan itu mahu jagoan negara terpilih nanti beraksi dengan komitmen tinggi memburu pingat emas walaupun difahamkan edisi kali ini menggugurkan banyak acara yang sebelum ini menjadi lubuk emas buat kontinjen negara.

“Walaupun kita tidak memberi tumpuan terlalu besar terhadap Sukan Sea, atlit tidak boleh ambil mudah. Kita mahukan keputusan yang terbaik dalam apa juga acara yang kita sertai,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, kementerian menyedari hakikat betapa Sukan Sea kali ini diadakan menjelang kejohanan lebih besar iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2010, menyaksikan ramai atlit kebangsaan kurang memberi tumpuan terhadap kejohanan peringkat Asean.

“Namun bagi atlit yang bertanding di Laos kelak, mereka tidak boleh mempunyai sikap kalau tidak dapat pingat pun tak apa. Ini bukan soalnya. Kita tetap mahukan yang terbaik dan kedudukan yang terbaik,” katanya.

Pada Sukan Sea di Korat, Thailand yang lalu, Malaysia meraih meraih 68 emas - pencapaian terbaik negara dalam kejohanan itu yang dilangsungkan di luar negara dan menduduki tempat kedua di belakang tuan rumah, Thailand.

Bagaimanapun, bagi Sukan Sea Laos yang bakal menganjurkan kejohanan buat kali pertama serta merayakan ulang tahun ke-25 kejohanan serantau itu, banyak acara yang menjadi lubuk emas negara digugurkan seperti gimnastik, bowling dan skuasy, lawn bowl, ekuestrian.

Malah, ada pihak yang menganggap Sukan Sea hilang relevan apabila menjadi medan tuan rumah menyenaraikan sukan tradisi untuk memastikan mereka mendominasi pingat seperti yang terbukti di Laos apabila mereka menyenaraikan acara renang sirip, tomoi, dan sepak bulu ayam.

Keadaan itu menyaksikan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah drastik dengan menegaskan Sukan Sea Laos tidak menjadi keutamaan pada tahun ini berikutan tumpuan diberikan terhadap persediaan atlit ke Sukan Komanwel di India dan Sukan Asia di Guangzho, China tahun depan.

Malah, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dipetik sebagai berkata, Sukan Sea Laos bakal disertai lebih ramai atlit pelapis dan pembangunan bagi sebagai pendedahan, suatu yang mendapat bantahan daripada Majlis Olimpik Malaysia.

BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment