
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Laos (LAOSOC) dilihat sudah bersedia menganjurkan temasya Sukan SEA XXV bermula 9-18 Disember ini di Vientiane tetapi persoalan sama ada mereka berkeupayaan dari sudut teknikal dan mempunyai cukup pegawai untuk mengelola kejohanan itu buat pertama kali masih menjadi tanda tanya.
Kemudahan asas seperti gelanggang acara dipertandingkan terutama di Kompleks Sukan Nasional sudah 70 peratus siap termasuk perkampungan sukan di Universiti Kebangsaan Laos.
"Kami sudah bersedia untuk sukan terbesar di Asia Tenggara ini," kata Timbalan Presiden Jawatankuasa Sukan dan Budaya Fizikal Nasional Laos, Somphou Phongsa di Vientiane baru-baru ini.
Katanya, Kompleks Sukan Nasional yang akan menempatkan acara olahraga, akuatik, renang sirip, memanah, tinju, bola sepak, golf, menembak, tenis dan bola tampar akan siap seperti dijangka pada hujung Julai ini.
Kompleks berkenaan yang dibina percuma oleh kerajaan China turut akan menjadi gelanggang upacara pembukaan dan penutup temasya.
Phongsa yang juga Timbalan Menteri Sukan Laos tidak terkecuali turut memohon sokongan kepakaran daripada Malaysia terutama dalam sukan badminton, memanah dan lumba basikal.
"Kami banyak kekurangan kerana pertama kali diberi kepercayaan mengelolakan temasya besar ini," kata Phongsa kepada perwakilan Malaysia dari Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Vientiane minggu lalu.
Turut sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Sukan Antarabangsa Laos, Dr. Soulasith Oupravanh dan Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Laos, Kasem Inthara.
Pengarah Pengurusan Acara MSN, A. Jalil Abdullah pula membayangkan kesukaran untuk menyokong hasrat Laos memandangkan wakil negara berkenaan enggan berterus terang mengenai kehendak sebenar mereka dalam hal teknikal yang sememangnya suatu keperluan khusus dalam mengelola temasya sukan besar seperti Sukan SEA.
"Hanya satu dua perkara sahaja yang mereka umumkan seperti sokongan kejurulatihan dalam badminton serta pengendalian acara lumba basikal," katanya.
Bagi wakil MSN itu, pegawai-pegawai Laos berkali-kali memohon sokongan daripada Malaysia tetapi ia terlalu umum dan tidak diterangkan secara jelas.
"Sebagai wakil kerajaan, saya serius untuk mendalami hasrat mereka terutama perihal teknikal tetapi sehingga pertemuan hari kedua, ia semakin samar-samar. Saya menjangkakan mereka turut memohon bantuan daripada jiran seperti Thailand dan Vietnam," katanya.
Apa pun, Jalil berkata, dia membayangkan bahawa Laos tidak memerlukan bantuan kewangan dari Malaysia kerana di samping China yang membelanjakan wang yang banyak untuk membina Kompleks Sukan Nasional, Jepun juga membina kemudahan seperti gimnasium untuk Sukan SEA XXV.
Di samping dibawa melawat ke kawasan Kompleks Sukan Nasional, delegasi negara juga melawat pusat media di International Cooperation and Training Centre (ICTC) dan perkampungan sukan.
Lain-lain gelanggang pesta berkenaan ialah di Universiti Kebangsaan Laos, Hotel Don Chan (biliard dan snuker), Stadium Bola Sepak Tentera (bola sepak), Tad Sone (basikal bukit), Patuxay-Cosmo (basikal), Gimnasium Anouvong (karate), Lao ITECC (takraw, wusyu dan silat), Gimnasium Pornsawan (angkat berat), Pusat Sukan Beung Kha Ngong (muay dan sepak bulu ayam).
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment