Wednesday, January 7, 2009

Syarat kelayakan buruan atlit pelapis

bharian.com.my

SASARAN bahagian Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) adalah membentuk barisan atlit yang mampu menggantikan skuad elit dengan memastikan mereka mempunyai kualiti bergelar juara dan melepasi syarat kelayakan temasya sukan utama.

Pengarahnya, Jefri Ngadirin, berkata walaupun masih di peringkat remaja, ia tidak bermakna atlit pelapis tidak mampu mengisi tempat atlit elit dalam menyertai saingan antarabangsa termasuk di Sukan Sea, andai mereka mampu melepasi had kelayakan.

“Ketika ini, kita sudah mempunyai lebih 200 atlit pelapis dari pelbagai acara sukan dan perkembangan mereka sentiasa dipantau bagi memastikan mereka diberi didikan sempurna untuk memburu kecemerlangan pada masa depan,” katanya.

Jefri berkata, sasaran awal kumpulan pelapis itu adalah Sukan Remaja Asia di Singapura Julai depan dan diharapkan atlit berkenaan mampu menyerlah dan meraih keputusan yang mampu menandingi atlit elit.

Mengulas mengenai cadangan menghantar atlit pelapis menyertai Sukan Sea di Laos hujung tahun ini, beliau berkata, segala-galanya terserah kepada persatuan dan sama ada atlit pelapis itu layak menyertai temasya itu.

“Kalau atlit ini berjaya melepasi had kelayakan Sukan Sea, mereka boleh dihantar namun apa yang penting adalah sasaran kita untuk meraih kejayaan terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya.

Atlit pelapis MSN sebelum ini terbukti mampu menyerlah lebih awal daripada yang disasarkan seperti kejayaan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang sudah pun mencatat nama di persada dunia walaupun sasaran awal untuk dirinya adalah Olimpik 2012.

BErita Harian

No comments:

Post a Comment