Wednesday, January 7, 2009

Ismail Sabri temui persatuan jelas isu atlit pelapis

Tuesday, January 06, 2009

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menemui setiap persatuan sukan kebangsaan mulai hari ini bagi menjelaskan kekeliruan berhubung cadangan untuk menghantar atlit pelapis ke Sukan Sea XXV Laos akhir tahun ini.

Menurut Ismail Sabri, cadangan itu yang dipersetujui kementeriannya, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN itu tahun lalu, tidak seharusnya dianggap sebagai paksaan.

Sebaliknya, menurut Ismail Sabri, ia masih boleh dibincangkan menerusi siri perjumpaan selepas ini didahului dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

"Persatuan boleh kemukakan cadangan. Kita tak ada masalah dengan persatuan yang mengeluarkan cadangan balas.

"Ada persatuan yang mempunyai atlit pelapis yang boleh diketengahkan dan ada juga persatuan yang belum ada lagi atlit," katanya selepas sidang akhbar pelancaran rayuan dana dari pihak korporat oleh Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (Yakeb) di kediaman penaungnya, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor, semalam.

Rosmah yang juga isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai penaung Yakeb, badan yang ditubuhkan pada 2007 bermatlamatkan menjaga kebajikan atlit yang masih aktif, atau pun yang bersara termasuk mereka yang kurang upaya.

Dalam ucapannya, Rosmah merayu kepada individu, badan-badan korporat, dermawan serta mana-mana pihak yang bermurah hati untuk tampil menghulurkan sumbangan bukan saja dalam bentuk kewangan tetapi juga sokongan kesukarelawan, bantuan kepakaran atau idea.

"Terdapat dua kategori atlit yang menjadi tumpuan Yakeb iaitu bekas atlit yang sudah bersara termasuk atlit kurang upaya yang dipanggil 'ahli istimewa' terdiri daripada atlit yang sekurang-kurangnya mewakili negara dalam Sukan Sea.

"Dan atlit yang masih aktif termasuk atlit kurang/kelainan upaya yang sekurang-kurangnya memperoleh pingat perak dalam temasya Sukan Sea," kata Rosmah.

Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang turut hadir, menyatakan dana RM1 juta yang diterima daripada kerajaan belum mencukupi.

Menurutnya, sehingga kini empat kes sudah menerima sumbangan daripada Yakeb iaitu isteri Datuk Misbun Sidek, Datin Latifah Sidek, bapa kepada pemain badminton, Chang Hun Pin, bekas pelumba basikal, Alwi Ahmad dan bekas atlit 4x400m kebangsaan, M Nadarajan.

No comments:

Post a Comment